Raja Azura tuntut nafkah anak selepas 15 tahun bercerai

4 hours ago 4

SHAH ALAM – Pelakon dan pengacara Raja Azura memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada bekas suami, Adzmin Osman yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak 15 tahun lalu.

Menurut peguam syarie mewakilinya, Mohammad Amirul Hanizan, Raja Azura selaku plaintif nekad memfailkan permohonan tersebut bagi menuntut pihak bekas suami mengikuti semua perintah mahkamah yang sudah dipersetujui selepas bercerai pada tahun 2010.

“Hari ini kami akan memulakan prosiding terhadap bekas suami anak guam saya berkaitan enggan perintah yang dikeluarkan mahkamah pada tahun 2010 kerana tidak dilaksanakan pihak defendan.

“Jadi, kami failkan hari ini supaya semua perintah itu dilaksanakan pihak bekas suami.

“Perintah-perintah itu kebanyakannya berkaitan tentang nafkah terhadap tiga anak mereka namun amaun tuntutan tidak boleh saya dedahkan,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam di sini, hari ini.

Tambahnya, anak guamnya kini menunggu maklum balas daripada pihak mahkamah untuk prosiding seterusnya.

Sementara bagi Raja Azura atau nama penuhnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, dia memfailkan permohonan tuntutan nafkah tersebut adalah untuk mendapatkan hak tiga anaknya.

“Ini kali pertama saya melangkah kaki masuk ke alam mahkamah.

“Saya failkan tuntutan ini bukan untuk bergaduh tetapi mahu dapatkan hak anak-anak saya.

“Mereka pun sudah cukup dewasa dan kuat untuk melihat saya melalui perkara sebegini,” ujarnya.

Tambah Raja Azura, dia mendapat kekuatan untuk membuat tuntutan tersebut adalah daripada tiga anaknya.

“Ini adalah juga atas permintaan anak-anak dan saya berjuang untuk mereka.

“Kalau boleh saya tak mahu cari salah sesiapa tetapi hanya mahu dapatkan hak seperti yang sudah termaktub dalam lafaz taklik.

“Saya pun tak mahu bergaduh dengan bekas suami dan kalau boleh selesaikan secara baik. Kalau dia dapat munculkan diri pun sudah syukur.

“Sekurang-kurangnya ini usaha saya untuk anak-anak,” jelasnya yang tidak pernah bertemu dan berkomunikasi dengan bekas suami sejak bercerai.

Terdahulu, Raja Azura bercerai dengan Adzmin pada 28 September 2010.

Mereka dikurniakan tiga orang anak hasil perkahwinan mereka Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin kini berusia 20 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |