Malaysia terajui Pasukan Pemerhati Interim di Kemboja

4 hours ago 4

SUBANG – Seramai 10 pegawai tentera mewakili tiga negara ASEAN iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia menyertai Pasukan Pemerhati Interim (IOT) yang bertujuan memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin berkata, penubuhan pasukan itu adalah atas jemputan rasmi kerajaan Kemboja sementara rundingan berhubung pembentukan pasukan pemerhati tetap ASEAN (ASEAN Observer Team) masih diteruskan.

Beliau berkata, pasukan itu yang diketuai Brigadier Jeneral Datuk Asri Shukor dari Tentera Darat Malaysia akan ditempatkan di dua lokasi strategik kira-kira 40 kilometer dari kawasan konflik iaitu di wilayah Preah Vihear dan Banteay Meanchey, Kemboja.

“Sebelum diatur gerak secara rasmi, pemantauan awal telah dilakukan oleh Atase Pertahanan di Bangkok dan Phnom Penh melalui pasukan ‘Interim Defence Attache Monitoring Team’.

“Malaysia dipertanggungjawabkan untuk merangka dan membangunkan Term of Reference atau TOR bagi memastikan pelaksanaan IOT ini dijalankan secara berkecuali profesional dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghantaran IOT ke Kemboja di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.

Penghantaran pasukan itu dilaksanakan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Zahani berkata, daripada jumlah pegawai yang dihantar, enam adalah pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dua pegawai Tentera Nasional Indonesia serta dua pegawai Angkatan Tentera Filipina.

Beliau berkata, misi tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga bulan, namun tempoh itu boleh dilanjutkan bergantung kepada keperluan semasa.

“Misi ini secara teknikalnya bukan sekadar tugas pemerhati tetapi juga simbol perpaduan dan kesepakatan dalam menyokong penyelesaian aman pergolakan antara Thailand dan Kemboja.

“Keupayaan ATM dalam melaksana penghantaran ini juga menunjukkan tahap kesiapsagaan dan profesionalism ATM dan angkatan tentera negara yang terlibat,” katanya.

Katanya, walaupun pasukan itu dijemput oleh Kemoboja, operasi hanya dijalankan selepas mendapat lampu hijau daripada Thailand bagi menjamin ketelusan dan keseimbangan.

“Setakat ini, Kemboja telah bersetuju menerima pasukan pemerhati dengan syarat dan terma yang dipersetujui bersama, manakala rundingan dengan Thailand masih diteruskan memandangkan mereka belum bersedia membenarkan kemasukan pasukan pemerhati ke wilayah mereka.

“Oleh itu, pasukan pemerhati akan ditempatkan di Kemboja, namun pemantauan tetap akan dilaksanakan terhadap pematuhan gencatan senjata di sepanjang sempadan kedua-dua negara,” katanya.

Tambahnya, pasukan itu mungkin akan disertai oleh Brunei dan Singapura selepas ini.

Terdahulu, Kemboja dan Thailand sebelum ini bersetuju menamatkan konflik bersenjata di sepanjang kawasan sempadan mereka dalam mesyuarat khas di Putrajaya pada 28 Julai, selepas lima hari pertempuran sengit.

Gencatan senjata itu dicetuskan oleh Malaysia dengan pemerhatian Amerika Syarikat dan China yang turut menggesa supaya pertikaian sempadan diselesaikan segera demi keselamatan serantau. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |