Saksi kelima tunjuk patung digunakan ketika simulasi proses bina semula

3 hours ago 4

KOTA KINABALU – Saksi kelima prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Inspektor Maidon Bernadus memperlihatkan patung digunakan sewaktu proses simulasi kejadian di asrama sekolah pada 3 Ogos lalu.

Maidon yang juga Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berkata demikian bagi menyambung keterangan hari ini selepas diminta Pegawai Pengendali inkues, Datuk Badiuszaman Ahmad.

Saksi ketika prosiding menunjukkan sebuah patung yang rosak dengan bahagian kepala terpisah daripada badan selain patah kedua-dua bahagian kaki.

Peguam mewakili ibu Zara Qairina, Shahlan Jufri kemudiannya bertanyakan soalan berkaitan dapatan daripada simulasi yang dijalankan saksi.

Maidon berkata, secara keseluruhan hasil daripada simulasi pertama iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan atau dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa hasil siasatan awal yang dilaksanakan oleh pegawai penyiasat melalui taklimat ringkas diberikan pada awalnya.

Menurut Maidon yang menjelaskan simulasi itu dibuat di tingkat tiga susulan taklimat yang diterimanya daripada pegawai penyiasat kes Inspektor Wong Yew Zhung.

“Melalui siasatan awal Inspektor Wong, menurut saksi di lokasi kedudukan terakhir Zara Qairina dipercayai berada dalam tandas (di tingkat tiga) yang berhadapan dengan koridor.

“Bahagian pinggang sehingga ke bawah patung dibalut dengan batu-bata menggunakan pita pelekat yang mempunyai lambang forensik dan batu-bata difikirkan sesuai bagi menyerupai berat fizikal si mati iaitu 53 kilogram,” katanya.

Dalam pernyataan saksi, Maidon berkata, berat asal patung itu ialah 10 kilogram namun ditambah pemberat menggunakan batu-bata untuk menyerupai berat fizikal remaja terbabit.

Berhubung soalan peguam mengapa patung 180 sentimeter digunakan sedangkan ketinggian Zara Qairina 153 sentimeter, Maidon menyatakan ia kerana beliau tidak dapat mencari patung yang sama tinggi dengan mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |