Barang kemas RM150,000 dalam bagasi hangus dijilat api

3 hours ago 3

BACHOK – Seorang suri rumah hanya mampu berputih mata apabila barangan kemas miliknya bernilai lebih RM150,000 yang disimpan di dalam sebuah bagasi hangus dijilat api selepas rumahnya di Kampung Alor Tok Majan di sini terbakar semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, Che Kamariah Hassan, 68, berada di rumah anaknya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Che Kamariah berkata, dia menyedari rumahnya terbakar selepas terdengar bunyi letupan kecil dan kepulan asap tebal sebelum mendapati api sedang membakar rumah pusaka arwah bapanya.

“Selepas kebakaran reda, saya masuk ke dalam rumah dan hanya mampu melihat kesemua barangan kemas yang berada di dalam bagasi sudah hangus, geran tanah dan dokumen lain yang disimpan di dalam bagasi tersebut yang dijadikan peti simpanan barangan keluarga turut terbakar,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Tok Majan di sini hari ini.

Che Kamariah memberitahu, dia bersyukur apabila cucunya berusia 15 tahun yang patah kedua-dua kaki akibat kemalangan baru-baru ini dapat menyelamatkan diri apabila sempat keluar dari rumah tersebut.

Menurutnya, selain itu, dua buah kereta dan tiga motosikal yang berada di dalam kawasan rumahnya turut hangus.

“Kebakaran mungkin berpunca daripada kejadian litar pintas dari sebuah bilik kosong di dalam rumah kerana sistem pendawaiannya sudah lama. Kejadian itu menyebabkan saya dan keluarga mengalami kerugian lebih RM300,000 termasuk barangan kemas, struktur rumah, kenderaan dan perabot,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Mohd. Zamizi Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.29 petang dan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran itu melibatkan hampir keseluruhan struktur rumah dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |