Suami PJJ, beri nafkah RM100 sebulan, alasan tak tinggal serumah

6 hours ago 6

PETALING JAYA – “RM100 sebulan, cukup ke untuk makan anak-beranak? Bil ultiliti? Keperluan rumah?”

Itu luahan sayu seorang wanita yang mendakwa hanya menerima nafkah sebanyak RM100 sebulan daripada suaminya yang bekerja di negeri lain atas alasan mereka menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ) dan tidak tinggal serumah.

Wanita yang berkongsi luahan di Threads berkata, keadaan menjadi lebih tertekan apabila suaminya bukan sahaja gagal menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, malah sering memberi alasan kononnya dia tidak wajib memberikan nafkah penuh kerana mereka tidak tinggal bersama.

“Saya terpaksa tanggung semua, makan minum, bil utiliti, tambang sekolah anak. RM100 itu pun kadang-kadang lambat diberi. Bila saya tanya lebih, katanya saya tak faham kedudukan ‘isteri PJJ’.

“Padahal dia duduk elok, kerja tetap, gaji lebih RM3,000 sebulan. Bab nafkah dan kewajipan? Semua dia culas,” katanya.

Menurut wanita itu, perkahwinan mereka sudah mencecah enam tahun, namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, suaminya lebih banyak ‘hilang’ dan tidak pulang menjenguk isteri serta anak-anak walaupun ketika cuti panjang.

“Saya bukan suruh dia duduk sini terus pun, cukuplah kalau bagi nafkah yang cukup, ambil tahu hal anak, balik bila boleh. Tapi sekarang dia lebih banyak berdalih dan akhirnya saya pula dipersalahkan konon terlalu berkira,” katanya.

Di ruangan komen, ramai yang meminta wanita itu mendapatkan nasihat daripada pakar agar masalah rumah tangganya dapat diselesaikan.

“Boleh jumpa kaunselor keluarga puan, dapatkan pencerahan apa perlu puan lakukan ketika berdepan situasi begini,” pesan Aisyah Norr.

“Harap puan kuat untuk anak. Tegur dan luah pada suami semuanya, jika dia masih sama, mungkin sudah tiba untuk puan cari kebahagiaan sendiri,” pesan seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |