KUALA LUMPUR – Status Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menghalang tiga rakan untuk turut serta memeriahkan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Vietnam, malam ini.
Walaupun terpaksa mengharungi pelbagai kesukaran, semangat dan rasa cinta Mohd Radzi Irfan Andy Imran, Muhammad Asyraaf Muhammad Nadzri dan Mohamad Irwan Mohd Kassim terhadap Harimau Malaya tidak pernah luntur khususnya selepas pasukan kebangsaan melalui fasa revolusi.
“Kalau ikutkan pergerakan kami sedikit sukar berbanding orang lain tetapi semangat kami tidak pernah luntur untuk memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan. Daripada dulu lagi saya sentiasa datang ke stadium dan semangat makin bertambah apabila adanya pemain warisan.
“Kami nak tengok sejauh mana persembahan pasukan kali ini dan bagaimana taktikal yang bakal diterapkan oleh jurulatih (Peter Cklamovski),” kata Mohd Radzi yang datang ke stadium bersama Muhammad Asyraaf.
Bagi Muhammad Asyraaf, dia sanggup untuk meminta pelepasan bekerja separuh hari bagi membolehkannya turut hadir ke stadium untuk menyaksikan sendiri perlawanan kali ini.

Sementara itu, Mohamad Irwan yang mengalami lumpuh ekoran kemalangan pada 2010 tidak pernah melunturkan minatnya terhadap bola sepak dan anggap sukan ini sudah sebati dengan dirinya.
“Sebelum kemalangan saya memang aktif bermain bola sepak dan futsal. Apa yang jadi kepada saya tidak pernah jejaskan minat saya untuk hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak khususnya jika babitkan pasukan kebangsaan.
“Soal pergerakan memang berbeza dengan orang normal dan saya juga perlu merancang perjalanan dengan lebih rapi dimana kali ini saya sudah keluar rumah seawal jam 3.30 petang. Tetapi kami tidak pernah hadapi sebarang masalah untuk masuk ke stadium kerana ada petugas yang membantu,” katanya. – KOSMO! ONLINE