Speedy Tigers rugi tiga gol, tumbang 3-4 kepada New Zealand

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Impian skuad hoki lelaki negara untuk mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara 2025 menerima tamparan hebat apabila tewas 3-4 kepada New Zealand dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Speedy Tigers terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan padang Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-18, sebelum Fitri Saari menambah jaringan kedua menerusi pukulan penalti pada minit ke-38.

Seminit kemudian, Azrai Aizad Abu Kamal menyumbat gol ketiga hasil gerakan padang.

Bagaimanapun, kelebihan 3-0 itu hanya bertahan lima minit apabila Black Sticks bangkit dalam tempoh singkat dengan menjaringkan dua gol menerusi jaringan padang dan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan 45 untuk mengikat kedudukan 3-2.

New Zealand terus menekan pada suku keempat dan berjaya meraih dua lagi gol untuk melengkapkan kebangkitan dramatik 4-3, sekali gus meninggalkan Malaysia di tangga tercorot kumpulan bersama Jepun.

“Kami sudah kawal sepenuhnya perlawanan, tapi kesilapan pengurusan kad kuning jadi punca utama. Dua kad kuning dalam masa singkat, dan kami dihukum,” kata ketua jurulatih, Sarjit Singh selepas perlawanan.

Tambah Sarjit, kad kuning yang diterima Fitri Saari memberi kesan besar kerana berlaku ketika pasukan sedang menguasai perlawanan dan menyebabkan hilang kawalan di bahagian tengah.

“Satu kesilapan, satu kad, dan lawan ambil peluang. Saya tak salahkan pemain, mereka berjuang. Tapi benda kecil macam ini beri impak besar,” katanya yang mengakui kecewa dengan keputusan itu.

Sebagai rekod, kekalahan ini menyaksikan Malaysia hanya menang enam kali daripada 24 pertemuan menentang New Zealand sejak 2013, dengan kali terakhir menang 6-4 di Piala Sultan Azlan Shah 2023.

Malaysia akan berdepan Jepun dalam aksi terakhir kumpulan Rabu ini dan kini perlu bergantung kepada keputusan perlawanan Pakistan menentang New Zealand bagi menentukan peluang ke separuh akhir. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |