Siti Mariam, Nurfashareena buktikan inovasi, amalan terbaik Malaysia di mata dunia

10 hours ago 6

PETALING JAYA – Dua wanita cemerlang negara mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila menjadi pembentang terpilih dari seluruh dunia yang diberi peluang untuk mengetengahkan inovasi dan amalan terbaik dalam pengurangan risiko bencana.

Ketua Penolong Pengarah di Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Siti Mariam Abu dan Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad dari SEADPRI-UKM membentangkan tajuk masing-masing pada sesi Ignite Stage Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) 2025 di Geneva yang merupakan sebuah platform eksklusif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua wanita tersebut menemani beliau semasa mewakili negara dalam menyampaikan Kenyataan Menteri di Platform Global untuk GPDRR di Geneva.

“Siti Mariam membentangkan tajuk “Harnessing Local Strength: A Bottom-Up Approach to Building Resilient and Sustainable Communities”.

“Pembentangan beliau menekankan pelaksanaan Dasar DRR Negara 2030, pelaksanaan program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) serta kepentingan sains, teknologi dan pendidikan dalam memperkasa kesiapsiagaan masyarakat,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Nurfashareena pula mempersembahkan sistem inovatif Kuala Lumpur Multi-Hazard Platform (KL-MHP), sebuah sistem ramalan bahaya berasaskan data yang membekalkan maklumat meteorologi, geofizikal dan atmosfera secara terperinci bagi memperkukuh daya tahan bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, projek berkenaan adalah hasil kerjasama strategik Malaysia–United Kingdom di bawah pembiayaan Newton-Ungku Omar Fund.

Dalam pada itu, beliau berkata, Siti Mariam dan Nurfashareena telah melalui proses saringan yang ketat oleh penganjur antarabangsa sebelum diberi kepercayaan untuk membentangkan contoh pelaksanaan terbaik Malaysia dalam pengurangan risiko bencana yang kini diiktiraf di peringkat global.

“Alhamdulillah, penyertaan aktif dan berkualiti tinggi oleh delegasi Malaysia kali ini mencerminkan kesungguhan negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan, ketahanan iklim dan keselamatan komuniti di peringkat global.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Nadma, Khairul Shahril Idrus atas kepimpinan beliau yang telah mengangkat NADMA ke tahap antarabangsa. Saya doakan agar beliau terus cemerlang dalam peranan baharu kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |