PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kemuliaan dan semangat Hari Raya Aidiladha sudah pasti tidak lepas daripada kisah inspiratif Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail a.s yang dizahirkan melalui pengorbanan yang dilakukan menjunjung perintah Allah SWT.
Jelas Perdana Menteri, selain ibrah pengorbanan seorang bapa dan rasul, kisah Nabi Ibrahim juga sarat dengan legasi kenabian pejuang kebenaran membawa mesej hikmah dan pesan pendidikan kenabian yang mewariskan model dakwah berorientasikan budaya wacana yang sihat dan segar.
“Nabi Ibrahim tidak berpidato secara monolog, tetapi sering mengajak khalayaknya untuk berdialog dan berhujah yang meyakinkan sebagai rencana dan strategi merangsang keupayaan menilai dengan akal sihat serta menghargai kebenaran, sekali gus membina warga yang cerdas dan punya disiplin kendiri yang tinggi,” tulis beliau dalam satu kenyataan di media sosial.
Tambah Anwar, ketika kita berseronok dalam menyambut ibadah korban, rakyat Malaysia diminta untuk tidak lepas membantu saudara di Gaza, Palestin serta negara-negara lain yang sedang bergelut dengan peperangan ketika ini.
“Tatkala kita laungkan semarak takbir Aidiladha menyemai inti maksud kalimah Allahu Akbar, kita juga tidak akan lepas dari ikhtiar membantu saudara kita berkorban mempertahankan kota dan wilayahnya dan pada masa yang sama terus dicengkam penderitaan khususnya di Gaza dan saudara kita yang lain.
“Akhirul kalam, saya doakan agar seluruh umat Islam di Malaysia dan warga Malaysia yang sedang mengerjakan ibadah haji diberikan afiat dan kekuatan mendepani tantangan di hadapan serta terus tawaduk bermunajat dalam rahmat dan perlindungan Ilahi,” tulis Anwar.
Perdana Menteri turut berkongsi satu Firman Allah SWT melalui Surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.
“Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”. – KOSMO! ONLINE.