Sejam cari mayat cucu dalam bot terbalik

3 hours ago 2

SHAH ALAM – Luluh hati seorang lelaki apabila menemui cucu saudaranya berusia tiga tahun selepas sejam mencari dalam bot laju yang terbalik kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan di sini, kelmarin.

Penemuan tersebut dilakukan selepas dua kali percubaan dengan bertarung nyawa menyelam dalam campuran limpahan minyak petrol dan air di bawah bot terbalik tersebut di Pangkalan Hadapan Carilamat di Pejabat Maritim Selangor.

Mayat Darren Gan, 3, tersebut kemudiannya diangkat datuk saudaranya mahu dikenali Gan Leong Seong, 51, kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Bercerita lanjut, Leong Seong berkata, dia mula mencari mangsa-mangsa yang terlibat dalam bot tersebut selepas ditunda ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor.

Katanya, bagaimanapun percubaan pertamanya itu gagal menemui sebarang mangsa.

“Kemudian abang saya turun (menyelam) dan memaklumkan menemui kaki salah seorang mangsa dipercayai tekong.

“Terkejut dengan perkara itu, saya terjun semula dan melihat cucu saudara di ruang hadapan kabin dan mengangkatnya sebelum membawa ke atas jeti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Tambahnya yang juga nelayan itu, dia bersama beberapa individu lain turun sekali lagi membawa keluar tekong bot laju, Cheu Son Hin, 50.

Bagaimanapun, kata Leong Seong, sepanjang selaman tersebut tidak menemui anak saudaranya, Gan Hon Tat, 32 dan isterinya Careen Man.

“Lebih sejam saya lakukan selaman bermula pukul 8 malam dalam keadaan bau campuran minyak petrol. Memang diakui sukar bernafas.

“Kejadian ini amat menyayat hati. Tiga sekali maut tiada satu pun ditinggalkan kepada kami sekeluarga,” ujarnya.

Mengimbau awal kejadian, Leong Seong memberitahu, dia mengetahui insiden menimpa anak saudaranya selepas dihubungi abang sulung kepada Hon Tat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Rantau Panjang, Kapar dari laut.

Jarak lokasi dia berada dengan tempat kejadian adalah kira-kira satu kilometer.

“Saya segera berpatah balik dan sebaik tiba hanya melihat dua pekerja tekong termasuk seorang daripadanya telah mati. Saya syukur mayat anak saudara dan isterinya dapat dijumpai hari ini,” katanya.

Leong Seong menyifatkan, Hon Tat merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan menjalankan perniagaan menjual umpan untuk memancing.

“Dia sangat rajin dengan selalu mencari bahan-bahan umpan di sekitar Sekinchan dan Tanjong Karang serta Setiawan,”katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mayat Hon Tat dan Careen dijumpai kira-kira pukul 8 pagi di kawasan berhampiran Pusat Hidrografi Nasional. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |