PETALING JAYA – Terlalu ‘clingy’, pempengaruh Ameera Khan mengakui dia dan aktor Indonesia, Jefri Nichol kerap berhubung hampir sepanjang masa menerusi telefon.
Bukan sekadar bertanya khabar atau melepas rindu, Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, mendedahkan mereka berdua lebih selesa ‘melekat’ di talian walaupun masing-masing sedang sibuk dengan urusan sendiri.
“Tak bosan pun, kalau tak telefon rasa serabut sikit sebab saya memang ‘clingy’, Jefri pun sama. Kalau dia sibuk buat hal dia, saya akan tanya ‘nak telefon saya balik tak?’.
“Kemudian dia jawab ‘tak perlu, terus saja berada di talian’. Kalau saya pula keluar rumah, dia akan cakap, ‘sayang, nanti hubungi saya semula ya?’
“Tapi saya pun jawab ‘tak perlu, awak pun kekal saja di talian dengan saya’,” katanya bagi menjawab persoalan netizen.
Tambah adik kepada selebriti Neelofa itu, tabiat tersebut langsung tidak mengganggu aktiviti harian mereka, sebaliknya memberikan rasa ketenangan dan disayangi.
“Telefon 24 jam itu tak kacau pun urusan kami. Kami selesa begitu,” jelasnya.
Perkara sama pernah dikongsikan Jefri ketika ditemu bual pelakon dan atlet Indonesia, Denny Sumargo sebelum ini apabila mendedahkan mereka pernah berbual melalui telefon selama 48 jam tanpa henti.
Rata-rata netizen memuji kemesraan pasangan tersebut dan menyifatkan Jefri sebagai lelaki penyayang yang menghargai kekasihnya.
Namun, tidak kurang juga meluahkan rasa kurang senang dengan pendedahan hubungan terlalu terbuka itu.
“Manis betul pasangan ini. Harap kekal sampai ke jenjang pelamin tapi kadang meluat tengok terlalu ‘show off’. Tak perlu nak hebahkan semua perkara peribadi,” komen netizen.
“Dah bergayut sakan harap kahwin la ye, kalau tak jadi, malu muka dua negara,” tulis pengguna media sosial.
Untuk rekod, hubungan Ameera dan pelakon Ali Topan itu pernah terputus sekitar Oktober 2021 apabila mereka saling berhenti mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Namun, pada penghujung Mac tahun lalu, pasangan itu kembali menjalin hubungan dan sejak itu dilihat semakin terbuka berkongsi detik-detik mesra bersama.
Meskipun berdepan komen sinis sesetengah pihak, Ameera tetap kelihatan tenang dan kini lebih aktif berkongsi kehidupannya bersama kekasih hati dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE