‘Saya dah larang, tapi mereka mahu pergi’

8 hours ago 5

PARIT – Ibu kepada empat beradik yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut Feri-Maran, Pahang, tidak menyangka kesungguhan anak-anaknya untuk berhari raya di rumah bapa saudara berakhir tragedi.

Zaini Noh, 52, berkata, disebabkan rasa tidak sedap hati, dia telah melarang mereka namun anak-anaknya terutama Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, begitu beria-ria untuk ke sana.

ZAINI (empat dari kiri) dan suami, Aziz Jaafar (lima dari kanan) bergambar bersama empat anak yang terkorban dalam nahas di Jerantut, Pahang iaitu Mohammad Zulkifli (kanan), Mohamad Azizul Hakimi (dua dari kanan), Nur Arfiqah (tiga dari kiri) dan Nurul Hazwani (dua dari kiri) serta menantu, Mohamad Ikmal (tiga dari kanan).

“Mereka mahu pergi ke rumah bapa saudara di Jerantut kerana abang saya mahu melakukan ibadah korban. Ini kali pertama empat beradik itu ke sana selepas sekian lama.

“Saya dan suami tidak ikut kerana keadaan saya yang tidak sihat. Saya beritahu mereka supaya jangan pergi sebab saya tidak pergi. Saya telah larang banyak kali, tapi dia (Arfiqah) mahu pergi juga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu 11 3/4, Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan di sini hari ini.

Selain Nur Arfiqah, turut terkorban dalam nahas pada pukul 12.40 tengah malam itu ialah suami wanita itu, Mohamad Ikmal Ishak, 26, serta tiga adik-beradiknya iaitu Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani,17.

Menurut Zaini, empat beradik itu bersama suami Arfiqah bergerak ke Jerantut pada pukul 5 petang semalam selepas anak kedua daripada enam beradik itu pulang dari kerja.

Katanya, adik Arfiqah yang berusia 12 tahun turut menyertai mereka ke Jerantut namun anak bongsu itu bertolak ke sana bersama bapa saudara pada Khamis lalu.

“Kali terakhir saya jumpa mereka Selasa lalu ketika Arfiqah datang ke sini untuk mengambil adik-adiknya. Azizul ada balik sekejap sebab dia cuti sehari.

“Tidak ada perubahan ketara yang ditunjukkan tapi kawan-kawan mereka beritahu yang anak sempat belanja nasi bungkus untuk rakan-rakan di rumah sewa selain maklumkan yang dia mahu pergi ke Pahang,” katanya.

Tambah Zaini, walaupun tidak menyangka akan kehilangan empat orang anak dan menantu sekelip mata pada Hari Raya Aidiladha ini, dia dan suami bagaimanapun reda menerima ketentuan Ilahi.

“Saya tahu mengenai kejadian ini selepas dimaklumkan oleh jiran tetapi dia cuma beritahu anak terlibat kemalangan. Hanya setelah beberapa jam barulah saya diberitahu hal sebenar yang mereka telah meninggal dunia.

“Walaupun susah untuk terima, saya reda dengan pemergian mereka,” katanya.

Jenazah kesemua mangsa yang menjalani proses bedah siasat di Hospital Jerantut itu akan dibawa pulang ke Bota Kanan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat. -KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |