GEORGE TOWN – Hampir 1,000 peminat durian sanggup beratur sehingga 2 kilometer (km) semata-mata mahu menikmati durian Sungai Ara yang diberikan secara percuma di Taman Jajar Sungai Ara di sini, hari ini.
Mereka terdiri dalam kalangan anak muda hinggalah warga emas dilihat hadir seawal pukul 10 pagi dan menunggu sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi untuk menikmati pelbagai variasi durian menerusi Program Pesta Durian & Pertandingan Durian Bukit Sungai Ara.
Acara tahunan tersebut merupakan anjuran pejabat Parlimen Bayan Baru.
Seorang penduduk dari Jelutong yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Tan, 69, berkata, dia sanggup memandu kereta seorang diri ke Sungai Ara kerana mahu merasai durian asli yang ditanam sendiri oleh orang tempatan.
Menurutnya, dia menunggu setiap tahun untuk menghadirkan diri pada program tersebut dan menganggap peluang terbaik untuknya menikmati raja buah secara percuma.
“Saya tidak akan melepaskan peluang untuk merasai pelbagai jenis durian yang diberikan secara percuma. Dari durian jenis kampung, kahwin sehinggalah kepada yang premium.
“Jika hendak beli durian kahwin atau jenis premium di luar, sudah tentu harganya melebihi RM30 sebiji. Di sini, saya boleh menikmati pelbagai durian yang siap sedia dihidangkan kepada pengunjung,” katanyanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi penggemar durian, Ooi Gaik Kee, 56, memberitahu, dia datang bersama suaminya, Richard Yim, 60-an dari Bayan Baru untuk merasai keistimewaan buah durian dari Sungai Ara.
“Ramai orang luar ingat, Pulau Pinang hanya ada durian dari Balik Pulau tetapi di Sungai Ara juga mempunyai banyak dusun durian yang diusahakan penduduk asalnya.
“Saya dan suami sanggup tunggu lama dan beratur panjang untuk sama-sama merasai durian Sungai Ara. Memang puas dapat makan pelbagai jenis durian termasuk Musang King,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula berkata, sebanyak 1,800 kilogram durian iaitu kira-kira dua tan raja buah dari Sungai Ara disediakan untuk orang ramai khususnya peminat durian. – KOSMO! ONLINE