Ratu skuasy raih tonik terbaik ke LA28

1 day ago 8

PUTRAJAYA – Misi memburu kilauan pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) kini diperkasakan lagi dengan penyertaan ratu skuasy negara, S. Sivasangari selepas secara rasmi terpilih menyertai program Road To Gold (RTG).

Sivasangari, 26, yang mempamerkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa, menjadi pemain skuasy pertama negara disenaraikan dalam program elit itu.

Pemilihannya dibuat berdasarkan ranking dunia serta pencapaian membanggakan dalam pelbagai kejohanan dilihat mampu menjadi pencabar utama dalam acara skuasy yang julung kali dipertandingkan di Sukan Olimpik nanti.

Sivasangari antara 10 atlet negara yang hadir ke Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya semalam bagi menandatangani perjanjian komitmen bersama RTG sejurus tamat mesyuarat jawatankuasa program berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, harapan tinggi kini disandarkan kepada semua atlet terpilih agar mereka dapat terus mengekalkan momentum dan meningkatkan lagi prestasi menjelang cabaran getir di LA28.

“Harapan kita adalah semua atlet ini kekal dalam senarai RTG dan terus meningkat. Sasaran kita ketika ini adalah untuk mereka berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Menjelang LA28, kita menyasarkan mereka berada dalam kedudukan empat atau lima terbaik dunia, barulah ada peluang lebih cerah untuk merealisasikan impian pingat emas,” katanya pada sidang akhbar RTG di Menara KBS hari ini.

Sementara itu, Sivasangari menyifatkan penyertaannya dalam RTG sebagai satu suntikan motivasi dan sokongan yang amat penting apatah lagi beliau kini berpangkalan di luar negara.

“Ada seorang lagi pemain, Ng Eain Yow yang kini berada dalam Program Fast Track dan harapnya beliau akan dapat sertai program RTG tidak lama lagi.

“Ketika ini, kami semua sedang berusaha ke arah Olimpik dan dengan berada dalam program ini, ia akan bantu lebih jauh lagi dalam perkara-perkara penting yang kami perlukan untuk mara ke Olimpik,” kata Sivasangari.

Turut memperkuatkan RTG ialah barisan jaguh badminton negara termasuk beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Dua pelumba berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri serta jaguh angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan turut tersenarai dalam program elit itu.

Read Entire Article
Pertanian | | | |