Piala Malaysia: JDT lengkapkan hatrik quadruple

6 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menempa sejarah baharu bola sepak tempatan apabila melengkapkan gelaran hatrik quadruple selepas menjuarai Piala Malaysia dengan menundukkan Sri Pahang 2-1 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Walaupun ramai yang menjangkakan aksi kali ini akan lebih condong kepada JDT, permainan 90 minit berlangsung sebaliknya dengan menyaksikan Sri Pahang masih mampu tampil melawan.

Dalam masa sama, layangan dua kad merah kepada pemain Sri Pahang, Sergio Aguero dan Park Jun-heong (JDT) turut menambah rencah untuk mewarnai aksi penuh debar perlawanan kali ini.

Permulaan garang JDT tidak beri kesan kepada mental pemain Sri Pahang yang kekal kuat untuk memberikan tentangan hingga memperoleh gol pembukaan seawal minit ke-14 menerusi T.Saravanan yang memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang lawan.

Jaringan itu seakan memberikan tenaga tambahan buat Tok Gajah yang dilihat begitu yakin untuk memberikan tekanan lebih awal kepada pemain lawan namun momentum yang dibina Sri Pahang sedikit terganggu apabila Aguero terpaksa meninggalkan padang lebih awal selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-34.

Pertahanan Sri Pahang, Adam Nor Azlin antara yang paling menonjol di babak pertama dan kemampuannya melakukan hadangan tepat sentiasa menghadirkan kekecewaan buat penyerang lawan untuk memburu gol penyamaan.

Keputusan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali membuat penilaian semula Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan JDT diberikan sepakan penalti dan peluang keemasan pada minit ke-54 itu berjaya disempurnakan dengan baik oleh Bergson Da Silva.

Drama final kali ini bertambah menarik selepas giliran JDT hilang seorang pemain apabila tonggak pertahanannya, Jun-heong turut dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Mykola Ahapov sekaligus menjadikan permainan kembali seimbang.

Minit ke-74, Arif Aiman Hanapi yang dilihat agak tenggelam di babak pertama akhirnya mencuri perhatian apabila meledak gol kemenangan Harimau Selatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |