PETALING JAYA – Kemelut antara pelakon dan penyanyi, Abby Abadi bersama bekas suaminya, Norman Hakim nampaknya semakin membahang.
Terbaharu, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, mendedahkan pernah dipukul Norman sehingga berdarah satu ketika dahulu.
Pendedahan mengejutkan tersebut tercetus selepas Abby naik berang dengan bekas kakak iparnya dan anak saudara Norman yang mendakwa aktor itu telah berhabis berjuta ringgit untuknya.
“Dah bagi berjuta? Berapa juta? Masuk akaun mana? Bagi kepada siapa? Sembang. Walhal dari bercerai dulu tak pernah pun keluarga dia ambil tahu hal saya dengan anak-anak.
“Masa kecil tak pernah tanya khabar, makan minum, tempat tinggal cukup ke tak. Semua saya urus sendiri. Sekarang baru nak berbunyi.
“Nak tahu tak adik awak tu pernah pukul saya setengah mati? Bila tengok berdarah teruk, bawa pergi klinik. Beritahu doktor kata kemalangan. Pernah tahu tak ni? Ada tak saya lapor polis?
“Tak ada, sebab nak jaga aib suami kononnya masa tu. Kalau lapor merasa juga duduk dalam penjara waktu itu.
“Jangan berani sangat nak sembanglah. Banyak benda tak tahu jadi diam sahaja. Kalau betul dah bagi berjuta, tunjuk slip, tunjuk akaun mana. Senang nak bawa anak-anak naik kelas bisnes macam korang,” tulisnya dalam aplikasi Threads.
Bekas pelakon bersiri drama Gerak Khas menambah, dia juga tidak pernah mendapat duit hantaran seperti yang pernah dijanjikan Norman satu ketika dahulu.
“Duit hantaran janji pun tak pernah bagi. Masa kahwin dahulu pun mana ada duit sangat. Duit belanja semua pakai apa yang ada. Tak ada siapa pun yang taja. Tak pernah pun saya dapat balik semua tu lepas bercerai. Tiada!,” tulisnya.
Abby juga meminta bekas kakak iparnya itu menasihati adik kesayangan supaya membayar semula nafkah tertunggak sejak mereka bercerai 17 tahun lalu.
“Mentang-mentanglah dibawa pergi umrah nak kelas bisnes. Bukan main sombong lagi nak bela adik sendiri.
“Patut tanya adik tu, nasihatkan suruh bagi duit makan minum, tempat tinggal yang dah 17 tahun tak pernah bagi sejak tinggalkan anak-anak umur baru lahir, 3 dan 5 tahun waktu tu. Ini dah kaya seorang jer merasa. Anak-anak sini?, “ tulisnya. KOSMO! ONLINE