PETALING JAYA – Tindakan seekor gajah yang dilihat mundar-mandir di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik-Jeli semalam mencuit hati netizen.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik oleh pemilik akaun @nafbii di TikTok, kejadian yang berlaku sekitar pukul 8.40 pagi itu menunjukkan seekor gajah berkeliaran di tengah jalan raya, menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa berhenti dan berundur.
“Kami terpaksa mengundur, saiz dia tiga kali ganda kereta. Rupanya dia tengah cari tangga nak naik bukit,” katanya dalam kapsyen.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang terhibur dengan gelagat gajah tersebut.
“Gajah pun naik tangga,” kata @theycallmedee.
“Cari tangga rupanya, habis semua orang dia sakat kat jalan raya,” ujar @qq8543.
“Apa agaknya perasaan rider (penunggang motosikal) tu, mesti roh dia dah sampai ke ubun-ubun,” kata @gulagula83.
“Dari sana ke mari tapi ending (pengakhiran) paling comel, gajah naik tangga,” komen @kyami. -KOSMO! ONLINE