PETALING JAYA – Seorang wanita terpaksa menelan kepahitan apabila mengetahui suaminya yang selama ini mendakwa tinggal berjauhan kerana urusan kerja, rupa-rupanya menginap serumah dengan wanita lain dipercayai kekasih gelapnya.
Wanita berkenaan mendedahkan perkara itu menerusi tangkap layar perbualan WhatsApp suaminya dengan individu terbabit.
Katanya, semua penipuan tersebut terbongkar ketika dia melihat telefon bimbit suaminya sewaktu lelaki itu pulang ke rumah sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.
“Dah dua tahun PJJ (perhubungan jarak jauh) dengan suami. Raya haji baru ini dia balik, kantoi telefon lama dia masih digunakan lagi.
“Dan kantoi ‘housemate’ dia dekat Perak sana bukan lelaki, tapi perempuan. Aku ikhlas, aku reda kalau dia betul nak perempuan itu, aku sanggup lepaskan dia. ‘But not until’ aku dapat tahu perempuan itu isteri orang yang PJJ juga dengan suami dia,” dedah wanita itu di Threads.
Melihat kepada tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan, perbualan di antara lelaki tersebut dan kekasihnya seolah-olah kehidupan sepasang suami isteri.
Mereka bukan sahaja menjaga pakai minum antara satu sama lain, malah berani tidur bersama sekatil.
Pendedahan wanita itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial lain dan rata-ratanya mengecam tindakan terkutuk suaminya serta kekasih tersebut kerana bersekedudukan meskipun sudah berkahwin.
“Rasa nak pecah dada bila baca. Allahuakbar, sedikit pun tak rasa berdosa. Tak takut Allah, kesian bini dia. Aku yang baca baca ini pun gigil kaki tangan,” Norsyahira Samin.
“Sungguh memalukan. Gaya hidup dah macam suami isteri yang sah walhal hubungan kedua-duanya adalah jelas dalam keadaan yang haram lagi dimurkai Allah. Siap sebut soal solat bagai macam tiada malu langsung padaNya😓. Bala Allah tiada siapa dapat menghalang jika ia datang,” ujar Jul Din. – KOSMO! ONLINE