‘Bila mereka sendiri buka aib, barulah saya ulas’

15 hours ago 10

MICHAEL Ang, sepotong nama yang cukup berpengaruh dalam dunia pengarahan. Bikin sahaja apa bentuk drama, pasti akan meraih rating tinggi setiap kali bersiaran.

Itu magis yang dimiliki Michael dalam menghasilkan sesebuah naskhah, namun dia bukan hanya berteriak di belakang skrin monitor, sebaliknya turut lantang dalam media sosial.

Masakan tidak, setiap kali wujud isu viral, pasti jari-jarinya ligat menulis ulasan peribadi.

Adakala kenyataan yang dilemparkan berbaur sinis dan sarat dengan kritikan tetapi kebanyakannya lebih kepada meminta orang ramai membuka mata tentang kejelekan perangai individu yang gilakan populariti murahan dengan menayang aib sendiri untuk tatapan umum.

Pedih, itu rasa yang perlu ditelan segelintir individu apabila kisah mereka menjadi bahan ulasan Michael. Berpeluang bersua muka dengan sutradara berusia 55 tahun itu baru-baru ini, Michael hanya tergelak kecil apabila ada pihak yang melabelnya sebagai penunggang isu viral.

Tidak melatah, pelakon filem Martabat Misi Berdarah itu berkata, dia bebas untuk berkongsi pandangan tentang apa jua isu yang berlaku di Malaysia.

Jika pelakon memilih skrip, dia juga selektif dalam melemparkan pendapat terhadap sebarang isu, terutama hal-hal viral dan menyentuh sensitiviti.

“Bukan setiap masa sebenarnya saya buat ulasan atau beri komen, bila perlu sahaja sebab adakalanya rasa sakit mata tengok macam-macam berlaku dalam media sosial.

“Orang kata saya lantang tetapi hakikatnya banyak isu juga saya tak ulas seperti kes penyanyi mencabul remaja bawah umur.

“Bukan tak mahu atau mengelak hal berkaitan artis sebab kita sendiri tak tahu cerita sebenar, mungkin ada cerita sebaliknya.

“Benda tak tahu jangan ulas atau buat-buat pandai,” katanya.

MCHAEL Ang bertegas tidak semberono mengulas sebarang isu yang viral dalam media sosial. Dia sebaliknya selektif dan tidak mahu tergolong dalam kelompok cetek akal jika terjebak dalam isu membodohkan diri sendiri. – Foto SKANDAR ISHAK

Kata pengarah drama Setelah Terlafaznya Akad itu, dia hanya bersuara apabila melihat individu yang terlibat galak membuka pekung sendiri dalam media sosial. Micheal bukan semberono mengulas membuta tuli yang boleh memakan dirinya semula.

“Saya akan ulas isu individu yang sendiri pampang aib dalam media sosial. Bila mereka sendiri buka aib, barulah kita boleh ulas.

“Sekurang-kurangnya ada isi, tidaklah terus tembak kosong sahaja. Realitinya, semua isu viral ini, kalau tiada dua tangan tepuk, tak akan berbunyi.

“Saya memilih isu, saya cuba ulas benda yang bukan buka aib pun sebab mereka sendiri sudah lakukan itu terlebih dahulu bahkan tiada niat pun nak tabur fitnah,” jelasnya.

Anak jati Melaka itu juga tidak akan mencipta rumusan sendiri dalam setiap perkongsian sebaliknya meninggalkan ruang terbuka untuk masyarakat membuat penilaian sendiri.

“Saya ulas benda yang mereka sendiri sudah cakap dan dedah. Saya cuma cakap apa yang mereka buat itu bodoh.

“Ulasan saya tidak bersifat ‘judgemental’ dan tidak sesuka hati buat kesimpulan sendiri,” ujarnya.

Sempat dilayang soalan berkaitan isu tentang seorang model yang melahirkan rasa kurang senang tentang ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, Michael berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan pun dalam media sosial.

Ujarnya, hal-hal berkaitan agama dan bangsa seharusnya tidak perlu menjadi pertikaian mana-mana individu yang membesar dalam sebuah negara Islam dan merupakan agama rasmi.

“Saya faham ada segelintir pencinta haiwan tetapi sebagai rakyat Malaysia, perlu celik mata dan hati tentang hal agama lain yang sudah dipelajari sejak kecil pun.

“Pasti semua tahu tentang raya haji, ibadah korban dan sebagainya. Bukan baru berlaku tahun ini.

“Jadi, kalau bukan Islam sekali pun,semua ini tentang hormat. Kita akan dapat respek daripada orang lain kalau kita juga lakukannya.

“Isu sebegini tak sepatutnya jadi isu besar kalau dia sendiri tutup mulut. Jangan beri komen dan kalau tak suka, diam sahaja sebab itu tentang agama lain,” katanya lagi.

Michael juga berpendapat individu tersebut tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sensitif dan memilih untuk enggan mengulas perihal sebegitu dalam media sosial.

“Sementara yang nak sokong orang Islam pula, jangan berlebih-lebihan. Macam menunggang isu dan agama.

“Ini juga antara isu yang saya enggan beri komen kepada publik sebab saya rasa yang beri kenyataan bodoh.

“Kalau saya beri komen, saya juga termasuk kelompok sama. Sah-sahlah kita duduk dan lahir di Malaysia, negara yang Islam adalah agama rasmi serta memang perlu tahu apa itu raya haji,” tuturnya.

Dalam masa sama, dia mengakui letih melihat lambakan isu viral yang tidak masuk akal tular dalam media sosial hari ini. Ditanya sama ada mempunyai hasrat untuk menghasilkan sebuah drama dengan mengangkat kisah kemelut rumah tangga pasangan viral, Michael hanya bimbang akan membuatkan ramai malu dengan realiti masyarakat hari ini.

“Saya penat tengok isu-isu viral aneh terus wujud. Sudah-sudahlah tayang masalah rumah tangga dalam media sosial.

“Kalau saya buat drama, menangis satu Malaysia. Nak ke orang tengok tentang realiti wanita dan lelaki di Malaysia, mungkin hanya segelintir tetapi memalukan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |