Tiket konsert Inteam ‘sold out’ lagi

15 hours ago 5

PETALING JAYA – Selepas membuka penjualan tiket sesi kedua, kumpulan nasyid Inteam mencipta rekod tersendiri apabila konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun yang bakal diadakan pada 28 September kelak terjual dalam tempoh satu jam.

Menerusi hantaran Instagram, pihak Inteam menzahirkan ucapan terima kasih kepada pembeli selain memohon maaf bagi yang tidak dapat membuat pembelian.

Dalam masa sama, Inteam juga memberi bayangan akan mengumumkan berita gembira kelak.

“Alhamdulillah, terima kasih dan tahniah kepada semua yang berjaya membeli tiket Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun.

“Subhanallah, ampun maaf kepada semua yang tak berjaya. Usaha anda kami beri A+.

“Insha-Allah, ada berita baik yang akan kami umumkan, nantikan,” katanya dalam hantaran Instagram.

Selain itu, Inteam turut memohon maaf kepada pembeli yang menghadapi masalah pembelian kerana ada gangguan.

“Lain macam kali ini, penggunaan ‘BOT’ (robot) dan ‘multi-devices’ (pelbagai peranti) menjadi-jadi.

“Menganggu sedikit proses pembelian. Tahniah kepada Ticket Empires yang berjaya kawal dengan sangat baik,” ujarnya.

Menjengah ruangan komen, ramai yang mengadu nasib tidak dapat membeli tiket kerana mengalami masalah dalam laman sesawang.

“Ada dalam laman sesawang, tekan sampai nak tembus telefon sekali ‘sold out’ (habis terjual). Bukan rezeki kami,” tutur pengikut.

“Tak boleh pilih tempat duduk dan teruskan ke langkah seterusnya,” ujar peminat.

“Sebelum pukul 12 tengah hari dah terpacak depan komputer riba. Baru beberapa minit dah ‘sold out’,” jelas peminat lain.

Sebelum ini, Inteam mengumumkan bakal mengadakan konsert sulung mereka di Zepp Kuala Lumpur.

Tidak sampai dua jam, tiket konsert sudah habis terjual dan rata-rata meluahkan rasa hampa apabila tidak berjaya hadir ke konsert berkenaan.

Rentetan sambutan hangat, Inteam menukar lokasi persembahan tersebut ke IdeaLive Petaling Jaya, Selangor yang boleh memuatkan 5,000 penonton. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |