Geledah SPRM sah di sisi undang-undang – MCW

14 hours ago 4

PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menjelaskan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah rumah seorang individu bergelar Tan Sri dan merampas barangan mewah bernilai RM16 juta adalah selaras dengan peruntukan undang-undang.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, siasatan masih berjalan dan belum ada pendakwaan dibuat, namun orang ramai perlu faham bahawa SPRM memiliki kuasa untuk bertindak sedemikian berdasarkan Akta SPRM 2009 (Akta 694).

“Antara peruntukan penting ialah Seksyen 31 yang membolehkan pegawai SPRM menggeledah premis jika mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai terdapat bukti berkaitan kesalahan rasuah.

“Tindakan itu boleh dibuat dengan atau tanpa waran, khususnya jika dikhuatiri bukti akan dimusnahkan sekiranya terdapat kelewatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Jais, antara barangan yang boleh dirampas termasuk wang tunai, barang kemas, dokumen, senjata dan harta alih seperti beg tangan serta jam tangan mewah.

Katanya lagi, Seksyen 32 memberi kuasa kepada SPRM untuk melakukan pemeriksaan ke atas badan atau barangan milik individu yang disyaki menyimpan bukti berkaitan siasatan.

Sementara itu, Seksyen 38(1) membolehkan SPRM membekukan aset selama 30 hari, jika dipercayai harta tersebut diperoleh melalui hasil rasuah atau pengubahan wang haram. Tempoh pembekuan boleh dilanjutkan dengan perintah mahkamah.

Jais berkata, kuasa menggeledah dan merampas tidak memerlukan pendakwaan dibuat terlebih dahulu, kerana ia merupakan sebahagian daripada proses siasatan jenayah sebelum keputusan mendakwa diputuskan oleh Peguam Negara.

“Walaupun SPRM mempunyai kuasa yang luas, tindakan mereka tetap tertakluk kepada syarat seperti sebab munasabah untuk mempercayai, serta boleh dicabar melalui semakan kehakiman jika terdapat penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Susulan itu, kata Jais, siasatan dalam kes berprofil tinggi sering memerlukan langkah awal seperti penggeledahan untuk mencegah penyembunyian harta dan memastikan bukti tidak hilang.

“Langkah SPRM itu sah dari segi undang-undang dan selari dengan prinsip keadilan serta hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan dua pegawai penyiasat SPRM melaksanakan proses itu di kediaman Tan Sri berkenaan di ibu negara selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |