Media bebas tonggak demokrasi, bukan alat kuasa – Anwar

16 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kebebasan media merupakan antara tonggak utama amalan demokrasi yang perlu terus dipertahankan dan diperkukuh di negara ini.

Menurut Anwar, media harus berperanan sebagai penyampai kebenaran dan bukan sekadar menjadi alat kepada kuasa untuk ‘melakar naratif’ yang akhirnya memaksa masyarakat menerima sesuatu tanpa ruang kepada perbezaan pendapat.

“Sistem demokrasi ini harus kekal dan utuh. Antara tiangnya ialah kebebasan media. Saya ingin mengingatkan, seperti yang disebut oleh Noam Chomsky, kita mesti berwaspada terhadap apa yang dikenali sebagai manufacturing consent’, iaitu penggunaan alat kekuasaan untuk membentuk persetujuan atau persepsi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Anwar turut memberi peringatan kepada pengamal media dan tokoh kewartawanan agar tidak terperangkap dalam apa yang beliau istilahkan sebagai ‘manufacturing dissent’ iaitu usaha mencipta naratif untuk menanam kebencian, menghina atau memfitnah pihak lain demi kepentingan tertentu.

“Kebebasan bersuara itu penting. Tetapi perbezaan pendapat bukan tiket untuk menghina atau mencerca. Kita tidak mahu ‘tyranny of the majority’, seperti yang diingatkan oleh Thomas Jefferson, di mana majoriti menggunakan kuasa untuk menindas,” tegasnya.

Anwar berkata, dalam landskap komunikasi masa kini, cabaran utama bukan lagi tertumpu kepada media arus perdana semata-mata, sebaliknya lebih besar datang daripada media sosial yang jauh lebih bebas, pantas dan tidak terkawal.

“Cabaran kita kini ialah bagaimana memanfaatkan kebebasan yang ada. Maklumat yang kita sampaikan harus dipercayai, berasas dan tidak menjadi alat penindasan, sama ada oleh golongan penguasa atau kelompok pelampau yang bebal dan terdesak mahu kuasa.

“Kadang-kadang, budaya membaca dan menilai secara mendalam telah luntur. Ini bukan perkara baharu, tetapi semakin membarah dengan wujudnya platform media sosial,” katanya.

Anwar turut menyeru agar pengamal media kekal profesional dan beretika dalam menyampaikan berita serta mendidik masyarakat untuk lebih celik maklumat agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah atau manipulasi yang dicipta pihak tidak bertanggungjawab. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |