Azeem terus ukir sejarah hebat di AS

14 hours ago 5

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus melakar nama di persada antarabangsa apabila mempertahankan pingat emas 4×100 meter (m) Kejohanan Olahraga NCAA di Hayward Field, Eugene, Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi.

Azeem, yang bertindak sebagai pelari pertama kuartet Universiti Auburn bersama Kanyinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba berjaya menamatkan saingan dengan catatan masa cemerlang 38.03 saat (s).

Kejayaan tersebut menyaksikan Auburn menewaskan pencabar terdekat, Universiti Louisiana State (LSU) yang mencatat 38.21s, manakala Universiti Houston menduduki tempat ketiga dengan masa 38.25s.

Kemenangan itu bukan sahaja mengesahkan penguasaan Auburn dalam acara tersebut, malah turut mengukir sejarah buat Azeem apabila menjadi atlet Malaysia pertama meraih pingat emas di kejohanan berprestij AS itu selama dua tahun berturut-turut.

AZEEM (kanan, belakang) bersama rakan sepasukannya memenangi trofi 4x100m NCAA musim ini. – AUBURN TRACK & FIELD

Charamba yang merupakan pelari terakhir Auburn, menyifatkan kepercayaan yang diletakkan oleh rakan-rakan sepasukan termasuk Azeem menjadi kunci utama kejayaan mereka.

“Ketiga-tiga rakan saya meletakkan kepercayaan penuh kepada saya untuk membawa pulang baton. Sebaik sahaja menerimanya, saya mengerah segala tenaga dan tiada siapa mampu mengejar. Saya memanfaatkan kelebihan fizikal dan strategi itu berhasil,” ujar Charamba.

Sementara itu, Azeem yang memegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s, turut berkongsi kegembiraannya meraih kejayaan tersebut.

“Kami lakukannya sekali lagi, tiada masalah besar,” kata bintang pecut dari Teluk Intan, Perak itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |