PETALING JAYA – Keadaan fizikal bagi brek bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, 9 Jun lalu berada dalam keadaan yang memuaskan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ia termasuklah ‘brake lining’ dan ‘brake drum’ bagi semua gandar bas tersebut.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal, tidak ada sebarang ketidakseragaman pada brake drum mahupun kenipisan pada brake lining.
Katanya, tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan.
“Dari pemeriksaan fizikal tayar, didapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Komponen bahagian steering dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan,” katanya dalam kenyataan.
Anthony berkata, berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan.
“Oleh yang demikian, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca dari faktor-faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.
Tegasnya, keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.
“Kepada semua keluarga mangsa, MOT merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang,” katanya.
Pada 9 Jun lalu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI terbabas sebelum melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki empat beranak di selekoh Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli.
Seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia di hospital.- KOSMO! ONLINE