PETALING JAYA – Sedekad penglibatan dalam industri muzik, kugiran Masdo enggan melepaskan peluang untuk menyertai Festival Muzik OOO 2025 yang akan berlangsung pada 1 Julai nanti di Heritage Valley, Kuala Lumpur.
Masdo menganggap festival tersebut menjadi medan terbaik untuk mereka memanaskan badan menjelang konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-10 penglibatan mereka dalam industri muzik tanah air tidak lama lagi.
Bakal berlangsung di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, Masdo yang dianggotai Ali, Asmawi dan Putu Ceri mahu menjadikan konsert tersebut sebagai hadiah terindah buat peminatnya.
Berkongsi kegembiraan, vokalisnya, Ali Sariah, 33, berkata, dia menganggap festival tersebut sebagai acara ‘panas badan’ sebelum berperang dengan konsert sendiri pada 30 Ogos depan sempena satu dekad penglibatan kami dalam industri.
“Kehadiran artis-artis hebat dalam festival ini turut menjadi pendorong utama bagi kami, untuk turut serta menghiburkan para peminat di atas pentas nanti.
“Sebenarnya ada yang menarik perhatian kami untuk menyertai Festival Muzik OOO 2025! memandangkan barisan penyanyi yang terlibat juga hebat dan mempunyai pengaruh dalam industri. Rugi sekiranya kami tidak turut serta untuk bersama-sama mereka menghiburkan
peminat.
Selain itu, keterlibatan mereka dalam festival ini juga mengukuhkan kedudukan Masdo bukan sahaja sebagai kumpulan muzik yang disegani, tetapi sebagai ikon budaya pop Malaysia moden.
Bagi Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian, pula berkata pihaknya teruja untuk bersama-sama peminat menjayakan festival yang julung-julang kali diadakan bagi menghargai bakat barisan penyanyi yang terlibat.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan OPPO dalam menjayakan festival yang unik ini, yang mengetengahkan bakat luar biasa yang kita miliki di Malaysia.
“Festival Muzik OOO 2025! bukan sekadar konsert, ia adalah satu sambutan budaya yang menyatukan orang ramai melalui muzik, kreativiti dan inovasi,” kata Brian.
Festival yang dijadualkan bermula pukul 6 petang hingga 11:30 malam tersebut bukan sahaja menyajikan muzik berkualiti, tetapi juga pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai makanan dan minuman, pameran jenama teknologi, booth interaktif Proton e.MAS, dan pelancaran produk eksklusif.
Dengan tiket serendah RM50, Festival Muzik OOO 2025 memberi peluang kepada peminat untuk merasai pengalaman muzik yang imersif, berinteraksi secara langsung dengan artis kegemaran, dan menjadi sebahagian daripada detik penting dalam perjalanan muzik Masdo. – KOSMO! ONLINE