KUALA LUMPUR – Tuduhan tidak berasas, pelakon Fattah Amin menafikan dakwaan kononnya sudah melangsungkan pertunangan dengan penyanyi Amira Othman seperti yang tular sejak Ahad lalu.
Mengakui terkejut dengan gosip berkenaan, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, menganggap khabar angin itu mungkin timbul disebabkan komen netizen yang mendoakan mereka berdua.
“Saya ada dengar tentang gosip itu dan waktu itu saya terkejut kenapa tiba-tiba timbul gosip sedemikian. Namun ingin saya nafikan perkara itu adalah tidak benar.
“Saya tidak tahu bagaimana gosip tersebut boleh muncul. Saya tahu pun daripada kawan-kawan media yang maklumkan.
“Apabila saya baca, saya terkejut dan tergelak. Mungkin berita itu keluar berikutan komen-komen netizen yang mendoakan saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon Hero Seorang Cinderella itu juga mendedahkan pihak pengurusannya sudah menghubungi pengurusan Amira bagi mendapatkan kepastian mengenai dakwaan tersebut.
Tidak akan merahsiakan berita baik seperti pertunangan, duda paling hangat itu bagaimanapun menegaskan hubungannya dengan dan Amira hanya sebagai kawan.
“Pihak pengurusan saya ada hubungi wakil pengurusan Amira untuk bertanyakan tentang gosip tersebut. Sudah tentu kami berdua sama-sama terkejut.
“Kalau gosip itu betul, sudah tentu kisah pertunangan itu tidak boleh disorokkan. Macam saya cakap sebelum ini, kami berdua hanya kawan. Hubungan itu sekadar urusan kerja sahaja.
“Saya dan Amira masih banyak kerjasama seperti Jakel, jadi kami sering berjumpa atas urusan kerja. Selain daripada itu, tidak lebih dari kawan,” ujarnya pada majlis Koleksi Amber Raya Romantics, di sini, hari ini.
Tambah Fattah, dia dan Amira sering bertemu kerana terlibat dalam beberapa projek kerjasama termasuk bersama Jakel, namun hubungan mereka bekerja dengan profesional.
Tidak menolak kemungkinan wujud pihak berniat jahat menyebarkan gosip berkenaan, bekas suami kepada aktres Nur Fazura itu bagaimanapun hanya berserah kepada ketentuan Allah.
“Kalau ada pihak berniat buruk, saya tidak tahu apa motif mereka. Saya hanya berdoa agar Allah melindungi daripada perkara tidak baik,” luahnya.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa Fattah bertunang dengan Amira pada Jumaat lalu selain mendakwa mereka bakal melangsungkan pernikahan pada Syawal nanti. – KOSMO! ONLINE