‘Saya nak pegang M16 sebelum kerja, kahwin’

14 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Seorang graduan ijazah sarjana (master) tidak melepaskan peluang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara sukarela sebagai cabaran buat dirinya sebelum menceburi dunia pekerjaan.

Difahamkan, Seow Mei Xue, 25, baru sahaja menamatkan pengajian di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) dalam bidang psikologi klinikal.

“Pada mulanya, ibu bapa saya tak bagi pergi kerana bimbang soal keselamatan, namun saya berjaya yakinkan mereka kerana ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Setelah lima minggu di sini, saya rasa inilah keputusan terbaik yang saya pernah buat,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Latihan Menembak (Wiramuda Wanita) Kem 515 Siri 2/2025 di Lapang Sasar Kem Sungai Besi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mei Xue berkata, pelbagai pengalaman diperolehinya sepanjang menyertai PLKN termasuk berpeluang melakukan latihan menembak.

“Peluang macam ini tak akan dapat bila dekat luar nanti dan ini kali pertama saya pegang dan lihat senapang jenis M16.

“Saya rasa gembira dapat lakukan pelbagai aktiviti termasuk menembak lebih-lebih lagi sebelum ceburi alam pekerjaan atau berkahwin,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkata, latihan bermula pukul 8 pagi itu melibatkan seramai 105 Wiramuda Wanita.

“Hasil daripada latihan ini, saya dapati semua peserta memberikan respons yang positif dan berharap mereka boleh manfaatkan latihan ini sebagai pengalaman yang berguna.

“Ini juga antara objektif kita supaya latihan seperti ini menjadi pemangkin kepada mereka untuk membina semangat patriotik dan cintakan Negara,” katanya.

Tambahnya, minggu ini merupakan latihan asas ketenteraan terakhir sebelum kesemua wiramuda menamatkan latihan secara keseluruhan pada 24 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |