iWAQF gesa tubuh RCI siasat penyelewengan harta wakaf Kolej Islam Malaya

13 hours ago 4

PETALING JAYA – Institut Waqf Nasional (iWAQF) menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan harta wakaf Kolej Islam Malaya (KIM) yang dianggarkan bernilai hampir RM10 bilion.

iWAQF dalam satu kenyataan berkata, penyelewengan tersebut menggambarkan satu pengkhianatan besar terhadap amanah wakaf yang seharusnya dimanfaatkan untuk pembangunan pendidikan dan Islam di negara ini.

“Isu ini bukan sahaja mencemarkan imej pengurusan wakaf di Malaysia, malah turut mencalar maruah institusi-institusi Islam yang bertanggungjawab memelihara integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

“Dakwaan bahawa aset wakaf telah disalahgunakan, termasuk dilaburkan dalam syarikat perjudian dan pemindahan hak milik secara tidak telus kepada pihak tertentu, adalah perkara yang amat serius dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya di sini hari ini.

Selain itu katanya, iWAQF turut menyeru masyarakat sivil, institusi agama, ahli akademik, serta bekas pelajar KIM untuk bersatu dan menyokong usaha menyelamatkan harta wakaf inidemi masa depan ummah.

“Wakaf adalah amanah suci yang tidak boleh digadai demi kepentingan individu atau kelompok tertentu.

“Kami akan terus memantau perkembangan isu ini, dan bersedia menawarkan kepakaran teknikal serta perundangan dalam usaha memperjuangkan kebenaran dan memulihkan aset wakaf KIM sesuai dengan maqasid dan tujuan asal pewakaf,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan jawatankuasa Selamatkan Harta Kolej Islam Malaya mendakwa hampir RM10 bilion aset serta harta wakaf milik KIM telah disalah guna dan dialihkan secara tidak sah ke sebuah lembaga pemegang amanah sejak tahun 1970.

Harta dan aset tersebut termasuklah tapak serta bangunan kampus KIM yang terletak di Petaling Jaya seluas lebih 30 ekar, puluhan rumah-rumah penginapan yang terletak di sekitar daerah terbabit.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |