PETALING JAYA – Gagal menahan air mata, pelakon Puteri Sarah terharu apabila tuntutan saman fitnah yang difailkan sebagai ganti rugi terhadap bekas pekerjanya, Nazatul Nazira pada tahun lalu berpihak kepadanya.
Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, bahkan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai penyucian maruah dan reputasinya yang sudah dicemarkan individu tidak bertanggungjawab.
“Ya Allah menang, alhamdulillah, terima kasih semua yang sentiasa mendoakan saya. Saya berasa sangat lega dan bersyukur dengan kemenangan ini kerana membabitkan maruah saya, ‘bisnes partner’ (rakan kongsi) dan bisnes saya sekarang.
“Saya menang kes saman fitnah, ya Allah syukur pada-Mu. Berkat hari Jumaat (kelmarin), saya dah sujud syukur,” katanya dalam satu siaran langsumg TikTok.
Disaksikan ramai, pelakon Hijrah Jannah itu itu memeluk anak sulungnya, Syaikhul Islam, sekai gus mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.
Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Nazatul membayar ganti rugi RM150,000 kepada Sarah berhubung fitnah yang dibuat dalam media sosial, pada tahun lalu. Sarah berjaya membuktikan tuntutan fitnah dibuat Nazatul yang telah mencemarkan reputasinya sebagai artis, usahawan dan ibu tunggal.
“Saya berasa lega sebab benda ini berlaku pada 2023 dan saya mula ‘take action’ (mengambil tindakan) pada 2024 serta masuk mahkamah pada 2025 dan akhirnya berjaya diselesaikan kini.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan ahli keluarga serta orang terdekat yang sentiasa di sisi dan tidak pernah lupa berdoa untuk saya, sepanjang kes ini,” katanya.
Puteri Sarah berharap perkara tersebut menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya bertanggungjawab dalam menggunakan medium media sosial.
Selain ganti rugi, Nazatul juga diperintahkan mahkamah membayar kos perbicaraan sebanyak RM30,000 kepada Puteri Sarah selain faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Mahkamah juga memerintahkan Nazatul membuat satu aku janji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama, injuksi menghalang penerbitan lanjut kenyataan fitnah dan perintah kepada defendan untuk membuat permohonan maaf bertulis serta menarik balik kenyataan itu di IG dan WhatsApp dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.
Sepanjang perbicaraan, Puteri Sarah diwakili empat peguam menerusi Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co iaitu Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, Azmi Tan Sri Dr Mohd. Rais, Zulkifli Che Yong dan Mohamad Ikmal Ibrahim.
Menerusi tuntutan kenyataan fitnah dikongsinya dalam IG terdapat lima bukti kenyataan dibuat antaranya Puteri Sarah dituduh mengambil dadah, bodoh sombong, menyara atau membela individu yang dipercayai bernama Andy dengan menganggapnya sebagai rakan kongsi dan seorang ketua yang suka menganiaya pekerja.
Atas semua tuduhan tersebut, Puteri Sarah memfailkan saman dan tuntutan RM1 juta kepada Nazatul Nazira. – KOSMO! ONLINE