Elsa ketuai Malaysia hadapi Piala BJK

15 hours ago 6

BINTANG muda negara, Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman mengakui semangat sepasukan menjadi senjata utama Malaysia dalam misi memburu kelayakan ke Kumpulan I pada saingan Piala Billie Jean King Cup (Piala BJK) Asia/Oceania Kumpulan II 2025.

Mengulas menjelang kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Tenis Kebangsaan, Kuala Lumpur bermula 16 hingga 21 Jun ini, Elsa berharap pengalaman tahun lalu akan digunakan sepenuhnya untuk membawa Malaysia melangkah lebih jauh kali ini.

“Tahun lepas kami dah beri yang terbaik walaupun ada perlawanan yang kami kesali. Tahun ini kami lebih bersedia dan bekerjasama erat. Harapnya ia akan membuahkan hasil,” katanya.

Tambahnya, fokus latihan turut ditumpukan kepada aspek kerja berpasukan, perseorangan, beregu dan kombinasi pemain selain menekankan semua pasukan Asia Tenggara dilihat kompetitif.

“Saya tak pasti pasukan mana yang paling sukar sebab semuanya kuat. Tapi paling penting kami akan lawan setiap mata dan set dengan bersungguh-sungguh.

Kalau ada sokongan padu seperti tahun lepas, ditambah semangat daripada penyokong, saya yakin kami mampu pergi lebih jauh,” tambah Elsa yang turut memberi nasihat kepada pemain baharu supaya kekal fokus dan bersatu sebagai satu pasukan.

Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada 2019, kembali menganjurkan kejohanan itu buat kali keempat berturut-turut sejak 2022 selepas edisi 2020 dan 2021 dibatalkan akibat pandemik.

Menurut Presiden Persatuan Tenis Malaysia (LTAM), Mirzan Mahathir, pasukan negara kini lebih seimbang dan berdaya saing berbanding tahun lalu dengan sasaran jelas untuk layak ke Kumpulan I tahun depan.

“Kami berharap skuad wanita Malaysia akan berjaya mempamerkan aksi terbaik dan merebut salah satu daripada dua slot promosi ke Kumpulan I Asia Oceania,” katanya.

Kejohanan itu bakal menyaksikan penyertaan 10 negara termasuk Indonesia, Iran, Kyrgyzstan, Mongolia, Singapura, Uzbekistan, Filipina, Pasifik Oceania dan Kepulauan Mariana Utara selain Malaysia selaku tuan rumah.

Read Entire Article
Pertanian | | | |