KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan pihak pengurusan ada ‘kejutan’ menarik bagi melengkapkan jadual antarabangsa buat pasukan kebangsaan yang masih kosong pada September depan.
Menurut Cklamovski, aksi persahabatan yang bakal diatur dalam tempoh tiga bulan akan datang cukup penting buat pasukan sebagai persiapan mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang bersambung semula pada Oktober nanti.
“Semua teruja dengan apa yang akan berlaku pada September depan. Semua tahu kita tiada aksi kelayakan Piala Asia 2027 ketika itu.
“Namun, kita akan gunakan tempoh tersebut untuk mencabar keupayaan dengan mengatur perlawanan menentang pasukan yang kuat.
“Cuma, bukan tugas saya untuk dedahkan (kepada umum) dan biarkan pihak pengurusan skuad kebangsaan yang akan memaklumkannya nanti.
“Apa yang pasti, semua orang akan teruja kerana ini akan menjadi cabaran yang sukar dan menguji kami sekali gus mempersiapkan pasukan sebelum kalendar Oktober depan,” katanya.
Harimau Malaya berada dalam kelas tersendiri selepas menewaskan seteru utama yang juga juara Asia Tenggara, Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.
Meskipun tiada pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun skuad negara dijangka mengatur aksi persahabatan dengan pasukan dalam ranking kelompok 100 terbaik dunia.
Ia berdasarkan trend dilakukan FAM dalam beberapa kalendar antarabangsa sejak dua tahun terakhir seperti pertemuan menentang Cape Verde, New Zealand, China dan Syria.
Ia juga menjadi salah satu faktor badan induk bola sepak negara terpaksa menolak pelawaan Indonesia yang menduduki ranking ke-123 dunia untuk melakukan aksi persahabatan di Jakarta pada September depan.