MANCHESTER – Penyerang baharu Manchester United, Matheus Cunha menyuarakan keazaman untuk membawa pasukan itu kembali digeruni menjelang saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025/26.
Pada saingan musim ini, United mengharungi aksi cukup mengecewakan apabila menamatkan kempen di kedudukan ke-15 dengan 42 mata selepas mencatat 11 kemenangan, sembilan seri dan 18 kekalahan.
Cunha berkata, sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata selepas dapat melengkapkan perpindahan ke Old Trafford kerana menganggap United adalah pasukan kegemarannya sejak kecil.
Atas rasa cinta mendalam terhadap United, pemain berusia 26 tahun itu sedia membantu The Red Devils kembali menjadi pasukan dihormati serta mencabar takhta kejuaraan EPL musim depan.

“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata mengenai perasaan saya sebagai seorang pemain Manchester United. Sejak kecil lagi saya sering menonton perlawanan United dan memasang impian bermain untuk pasukan ini.
“Saya sudah tidak sabar untuk memulakan aksi pramusim dan bertemu rakan sepasukan baharu. Fokus saya sekarang adalah untuk bekerja keras dan menjadi aset penting bagi membawa pasukan kembali ke puncak,” katanya.
Cunha melengkapkan perpindahan ke United dari Wolverhampton Wanderers dengan yuran perpindahan £62.5 juta (RM358.29 juta).
Dengan kemasukan Cunha, United berharap mereka mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol selepas penggempur sedia ada, Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee gagal melaksanakan tugas dengan baik. – AGENSI