‘Bayangkan kalau budak kecil yang kena’

14 hours ago 6

PETALING JAYA – Seekor kucing peliharaan mati dalam insiden tragis selepas tersepit di pagar automatik sebuah rumah, mencetuskan kesedihan dalam kalangan netizen di media sosial.

Kejadian itu dikongsi seorang pengguna Facebook, Mas Intan, yang memuat naik rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan seekor kucing berwarna jingga dikenali sebagai Tofu sedang berjalan keluar dari sebuah rumah.

Namun, sebelum sempat kucing berkenaan melintasi pagar sepenuhnya, badannya telah tersepit antara dua sisi pagar automatik yang sedang ditutup.

“Kucing ini telah masuk ke rumah jiran bos saya, dan tuan rumah tutup autogate (pagar automatik).Tofu (kucing) pun sama-sama keluar maka tersepit di situ (pagar automatik),” tulisnya pada ruangan kapsyen klip berkenaan.

Menurutnya, kucing berkenaan dipercayai mati serta-merta akibat kejadian menyayat hati itu.

“Mak Cik sedih tengok awak mati macam ini,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menzahirkan rasa simpati dan mengingatkan pemilik haiwan agar lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan haiwan peliharaan mereka.

“Jaga haiwan sendiri jangan biar berkeliaran. Kucing dan tuan rumah tersebut tidak bersalah. Yang salah tuan kucing ini sebab tak letak dia dalam sangkar,” komen Atieysya.

“Kesiannya kucing ini, langsung bukan salah kucing dan juga tuan rumah. Patutnya kita jaga haiwan kita bela elok-elok. Autogate (pagar automatik) lepas ini kalau boleh orang yang buat itu tolong buatkan sensor ke apa yang boleh halang benda,” balas Nur Athierah.

“Pelihara dan jagalah kucing elok-elok, kadang jiran nak marah tak sampai hati. Kucing yang mereka bela datang rumah jiran selepas itu panjat sana sini,” kata Sahiman.

Dalam pada itu, orang ramai turut berpendapat, walaupun kejadian ini membabitkan haiwan, sistem keselamatan pagar automatik perlu diberi perhatian serius kerana ia juga boleh mengancam nyawa manusia, khususnya kanak-kanak.

“Auto gate(pagar automatik) bukan ‘auto safety’ tutup. Kena pastikan masa tutup dalam keadaan tertutup dengan selamat bukan sebab pasal semata-mata kucing tersepit tapi takut bleh jadi perkara yang kita tak sangka,” ujar Yaakob Abd Rahim.

“Pagar automatik ini sepatutnya ada sensor di mana kalau ada halangan, ia akan buka semula,” balas Abdul Aziz Sulaieman. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |