Pejalan kaki hilang di sungai dirempuh kereta dipandu Bangladesh

21 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Seorang pejalan kaki dilaporkan hilang di sungai selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Ipoh menghala ke Bulatan Kepong, di sini, pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi itu melibatkan kereta jenis Nissan Sylphy dipandu seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata pemandu yang datang dari arah Projek Perumahan Rakyat Batu Muda itu telah hilang kawalan.

Katanya, suspek melanggar bahagian depan sebuah kereta jenis Toyota Camry dipandu wanita warga Vietnam sebelum melanggar seorang pejalan kaki.

“Pelanggaran itu menyebabkan pejalan kaki jatuh ke bawah jambatan manakala kereta Nissan Sylphy terjunam ke bawah dan tersangkut di antara celahan konkrit dan saluran paip besi.

“Pemandu Nissan Sylphy mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur manakala mangsa pejalan kaki yang masih belum dikenal pasti disyaki terjatuh ke dalam sungai”, katanya dalam kenyataan.

Mohd. Zamzuri berkata, pihak bomba bersama anggota Jabatan Pertahanan Awam sehongga kini masih dalam proses pencarian mangsa.

Sementara itu, beliau berkata kereta Nissan Sylphy bukanlah milik pemandu dan ia dipinjam daripada rakannya.

“Pihak JSPT akan mengesan pemilik sebenar untuk tindakan selanjutnya dan pemandu Nissan Sylphy akan ditahan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal bernasib baik apabila tidak dilanggar oleh sebuah kereta yang memecut laju di sebuah persimpangan lampu isyarat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pagi tadi.

Dalam rakaman kamera papan pemuka sekitar pukul 11.45 pagi itu, kejadian difahamkan berlaku berdekatan Masjid Abu Hurairah.

Kelihatan selepas lampu isyarat bertukar hijau, seorang penunggang motosikal bergerak ke depan sedikit awal sebelum sebuah kereta berwarna hitam memecut laju dari arah lain.

Kereta tersebut kemudiannya melambung dan terjunam ke dalam longkang bersebelahan masjid tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |