KUALA LUMPUR – Hampir RM10 bilion aset serta harta wakaf milik Kolej Islam Malaya (KIM) didakwa telah disalah guna dan dialihkan secara tidak sah ke sebuah lembaga pemegang amanah sejak tahun 1970.
Harta dan aset tersebut ternasuklah tapak serta banguban kampus KIM yang terletak di Petaling Jaya seluas lebih 30 ekar, puluhan rumah-rumah penginapan yang terletak di sekitar daerah terbabit.
Selain itu, KIM juga turut mempunyai aset dan hartanah lain di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, beberapa negeri lain serta Singapura.
Setiausaha Sekretariat Selamatkan Harta KIM, Dr. Firdaus Ahmad Azzam berkata, proses pemindahan kesemua harta tersebut dipercayai dilakukan secara tidak sah melibatkan beberapa tokoh terkenal selepas KIM ditutup secara tiba-tiba pada tahun 1970.
“Sejak itu, kesemua aset dan harta yang diwakafkan oleh orang ramai dan golongan pembesar negara sejak awal tahun 1950-an untuk menubuhkan KIM telah dilarikan dan digunakan secara tidak sah oleh pemegang amanah tersebut.
“Lebih mendukacitakan kami apabila ada aset dan harta terbabit digunakan untuk membeli saham di dalam sebuah syarikat perjudian terkenal di negara ini.
“Sedangkan harta tersebut dikumpul dan disumbangkan oleh orang Islam bukan sahaja dari Malaysia malah beberapa negara lain termasuk Brunei dan Arab Saudi,”katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Turut hadir penasihat sekretariat berkenaan, Datuk Dusuki Ahmad yang juga Pengerusi Majlis Ulama UMNO.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, KIM hanya mampu bertahan selama 15 tahun iaitu bermula sejak tahun 1955 dan ditutup pada tahun 1970 tanpa sebarang sebab atau alasan.
Lebih mendukacita katanya, KIM sebuah pusat pengajian Islam tertua di negara ini yang sepatutmya dinaik taraf kepada universiti seperti yang dijanjikan sebelum ia ditutup juga gagal direalisasikan.
Tambah beliau, bagi membongkar skandal kehilangan aset dan harta wakaf milik KIM, pihaknya telah membawa isu berkenaan ke mahkamah sivil dan akan melalui perbicaraan bermula 16 Jun ini di Mahkamah Shah Alam.
“Setelah beberapa kali permohonan kami untuk membawa isu ini ke mahkamah di tolak kerana kekurangan bukti dan karenah birokrasi, akhirnya kami lega apabila isu ini dapat dibawa ke mahkamah pada Isnin ini.
“Kami memfailkan tuntuntan kepada empat pihak termasuk pihak lembaga amanah yang menguruskan kes ini. Tuntutan kami adalah supaya semua harta yang dipegang oleh pihak tertentu ini dipulangkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan harta yang diwakafkan,” katanya.
Pada masa sama katanya, pihak sekretariat itu juga memohon Kerajaan Madani campur tangan dalam isu ini supaya wang derma orang ramai itu dan harta yang telah diwakafkan dapat dipulangkan dengan segera.
“Kita harap perkara ini dapat dilihat oleh pihak kerajaan tambahan pula Perdana Menteri pernah menyuarakan hal ini sewaktu menjadi Presiden PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE