PETALING JAYA – Dipaksa untuk bekerja sebagai pembantu rumah sebelum diambil gaji tanpa persetujuan.
Itulah antara modus operandi dijalankan oleh sebuah agensi pekerjaan di Klang, Selangor yang berselindung di sebalik aktiviti pemerdagangan orang.
Taktik itu terbongkar apabila Jabatan Imigresen (JIM) menjalankan serbuan ke atas tiga buah premis yang berbeza hasil aduan awam dan risikan selama dua minggu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata agensi pekerjaan itu akan membawa masuk migran dari negara sumber melalui janji tawaran pekerjaan.
Beliau berkata, pihak agensi kemudiannya mengikat dengan kontrak yang ditandatangani dan mangsa tidak dibenarkan pulang ke negara asal serta diwajibkan bekerja dan membayar sejumlah bayaran tinggi yang ditetapkan ejen.
Menurutnya, kesemua mangsa diarahkan bekerja secara separuh masa sebagai pembantu rumah bersama beberapa majikan yang berbeza, dengan kadar bayaran harian antara RM70 hingga RM120.
“Namun begitu, bayaran gaji diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan mereka.
“Mangsa turut dikenakan kawalan ketat seperti pasport yang dipegang oleh agensi, manakala telefon bimbit disimpan oleh penjaga premis dan hanya diberikan jika perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, dalam operasi itu, seorang
wanita warga tempatan yang disyaki sebagai dalang utama, serta dua wanita warga Filipina yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis (caretaker) telah ditahan.
Katanya, operasi ini berjaya menyelamatkan sembilan mangsa wanita warga Filipina
dan menahan sepuluh wanita warga Filipina yang berusia antara 26 hingga 43
tahun.
“Mangsa yang diselamatkan disyaki dieksploitasi sebagai pembantu
rumah, manakala kesemua migran yang ditemui tidak memiliki pasport atau pas
lawatan yang sah.
“Pasukan operasi telah menyita satu unit premis yang dipercayai dijadikan lokasi
penahanan mangsa serta beberapa naskhah pasport Filipina dan Indonesia,” ujarnya.
Tambah Ismail, turut disita, beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai mengandungi bukti komunikasi
penting antara dalang dengan penjaga premis.
Sementara itu, beliau berkata operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National
Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
Katanya, JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan
Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
“JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi
penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang
didapati melakukan kesalahan pemerdagangan orang di bawah ATIPSOM 2007 (AKTA 670),” katanya. – KOSMO! ONLINE