Kemboja arah tentera siap siaga hadapi krisis dengan Thailand 

19 hours ago 7

PHNOM PENH – Kemboja mengarahkan tenteranya berada dalam ‘siap siaga sepenuhnya’ dan melarang tayangan drama Thailand di negara berkenaan berikutan pertikaian sempadan berterusan antara jiran Asia Tenggara itu.

Phnom Penh memutuskan sambungan internet dari Thailand hari ini, susulan pertempuran maut pada bulan lepas.

Keganasan meletus pada 28 Mei lalu di kawasan dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud, di mana sempadan Kemboja, Thailand, dan Laos bertemu  dengan seorang askar Kemboja terbunuh.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berkata, negara itu memutuskan semua jalur lebar internet dari Thailand, menyebabkan sebilangan pengguna mengeluh tentang kelajuan yang perlahan.

Kementerian penerangan dan kebudayaan juga mengarahkan stesen televisyen dan pawagam berhenti menyiarkan filem serta drama Thailand.

Bekas pemimpin berpengaruh, Hun Sen yang merupakan bapa Hun Manet menggesa Phnom Penh menghentikan ‘import barangan Thailand ke pasaran Kemboja’ jika Bangkok enggan menarik balik sekatan yang dikenakan di pusat pemeriksaan sempadan sejak beberapa hari lalu.

Beliau juga meminta tentera Kemboja supaya berwaspada.

“Semua angkatan bersenjata Kemboja perlu kekal dalam keadaan siap siaga penuh selama  24 jam sehari, bersedia untuk bertindak balas dan mempertahankan negara ini sekiranya berlaku pencerobohan,” kata Hun Sen dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Beliau menggesa pihak berkuasa di wilayah berhampiran sempadan bersedia untuk memindahkan penduduk ke kawasan lebih selamat.

Pihak berkuasa Kemboja juga mengumumkan bahawa lintasan sempadan Daung-Ban Laem yang popular dengan Thailand akan ditutup tanpa had bermula hari ini.

Jabatan Imigresen Kemboja berkata, langkah itu demi keselamatan rakyat tempatan.

Dalam satu lagi siaran Facebook, Hun Sen menggalakkan petani Thailand untuk membantah tentera mereka.

Beliau berkata, Kemboja akan membuka semula lintasan sempadan apabila semua sekatan sempadan yang dikenakan oleh tentera Thailand ditarik balik.

Pegawai Kemboja dan Thailand akan bertemu di Phnom Penh esok untuk membincangkan isu konflik sempadan.

Pertikaian itu bermula sejak pembentukan sempadan sepanjang 800 kilometer yang sebahagian besarnya dilakukan semasa pendudukan Perancis di rantau Indochina.

Wilayah itu menyaksikan keganasan rambang  sejak 2008, mengakibatkan sekurang-kurangnya 28 kematian.

Hun Manet mengumumkan awal bulan ini bahawa Kemboja akan memfailkan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung empat kawasan sempadan yang dipertikaikan, termasuk lokasi pertempuran terbaru.

ICJ memutuskan pada tahun 2013 bahawa kawasan yang dipertikaikan di sebelah kuil Preah Vihear adalah milik Kemboja, tetapi Thailand mengatakan ia tidak mengiktiraf bidang kuasa ICJ.

Pada Ahad lalu, tentera kedua-dua negara bersetuju untuk menempatkan semula askar masing-masing di lokasi pertempuran terbaru untuk mengelakkan konfrontasi.

Thailand turut menutup beberapa lintasan sempadan dan mengetatkan kawalan sempadan dengan Kemboja. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |