‘Jemaah haji KT001 pulang Sabtu ini, CCI layan macam VIP’

1 day ago 6

MEKAH – Jemaah haji kumpulan KT001 yang bakal pulang dan tiba di tanah air Sabtu ini teruja selepas seolah-olah dilayan seperti orang kenamaan (VIP) menerusi perkhidmatan City Check-In (CCI) disediakan Tabung Haji (TH) bagi memudahkan lagi pengurusan bagasi mereka.

Seorang jemaah wanita dari Pasir Putih, Kelantan, Nora’azidah Abd. Rahman, 51, berkata, proses daftar masuk bagasi hari ini berjalan sangat lancar dari awal sehingga selesai.

“Alhamdulillah terima kasih TH, saya akan turun dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum terus ke Kelantan. Allah sudah jemput ke sini dan syukur sangat, petugas-petugas semua beri kerjasama yang amat baik.

“Saya dan suami, Ramli Yahaya, 57, sangat berpuas hati, tak sangka lebih macam VIP. Jadi bila check-in di sini keluar ke lapangan terbang memang mudah tidak perlu bawa bagasi besar. Kami pun bawa dua beg saja menaiki pesawat, tidak lebih 30 kilogram,” katanya ketika ditemui pada proses CCI di Abraj Al Janadriyah, di sini hari ini.

NORA’AZIDAH (kanan) dan suami, Ramli ceria selepas selesai mendaftar masuk bagasi mereka di Abraj Al Janadriyah, Mekah hari ini.

Seramai 284 jemaah haji dalam kumpulan KT001 dijangka menaiki pesawat pada pukul 5.40 pagi waktu tempatan Sabtu ini dan tiba di KLIA, Sepang pada pukul 8.10 malam hari sama waktu Malaysia.

Seorang pesara guru dari Pontian, Johor, Ali Salbi, 58, berkata, jadual yang disediakan TH untuk perjalanan pulang tersebut sangat teratur dan para jemaah dapat bersedia dalam keadaan selesa tanpa perlu mengangkut bagasi besar dan berat.

“Mengikut penerbangan yang ditetapkan jadi mudahlah kami bersedia, tidak tertunggu-tunggu. Kalau menunggu pun kami hanya tunggu di bilik dalam keadaan selesa.

“Sebenarnya nak balik ini memanglah seronok, tapi di sini lagi seronok. Alhamdulillah dapat sampai ke sini, kebetulan pula saya sudah pencen jadi mungkin suasana itu lebih tidak memikirkan kehidupan di Malaysia. Sini lebih seronok, lebih tenang pada sayalah,” katanya dalam nada sebak.

ALI yang merupakan pesara guru terasa sebak untuk meninggalkan Tanah Suci Mekah.

Sementara itu, Pengurus Operasi Maktab, Abdul Fattah Mohd. Fasor berkata, proses CCI pagi semalam tersebut adalah merupakan proses keluar melibatkan kumpulan KT001 yang pertama akan keluar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah.

“Untuk proses CCI ini untuk mudah difahami adalah proses di mana kita check-in bagasi tapi berlaku di bangunan penginapan jemaah haji sendiri. Jadi kalau sebelum ini mungkin jemaah perlu bawa bagasi ke lapangan terbang.

“Bagi proses CCI hari ini sama dengan proses-proses yang berlaku di lapangan terbang yang mana ia melibatkan barangan dan bagasi, had muatan bagi pesawat Malaysia Airlines. Terdapat satu lagi agensi yang terlibat iaitu Saudi Airlines,” katanya.

Katanya, proses CCI ini akan melibatkan sebanyak 47 sesi bermula semalam sehingga 24 Jun.

Beliau dalam pada itu menekankan supaya jemaah tidak memasukkan power bank ke dalam bagasi berikutan terdapat larangan daripada syarikat penerbangan, manakala air zamzam pula mempunyai larangan daripada Kerajaan Arab Saudi.

Power bank berkapasiti maksimum 20,000mAh dibenarkan dibawa ke atas pesawat namun tidak dibenarkan diletak dalam kompartmen. Bagi larangan-larangan lain adalah senjata tajam, objek tumpul yang berbahaya dan juga cecair yang melebihi 100 mililiter sama ada minyak wangi, air, alatan mandian dan lain-lain.

“Bagi berat bagasi pula tidak boleh melebihi 30 kilogram seorang. Nasihat kita kepada jemaah dan di peringkat maktab juga kita telah sediakan penimbang untuk jemaah timbang secara kendiri berat bagasi masing-masing dan sekiranya berlebihan kita nasihatkan untuk gunakan khidmat pos kurier,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |