Kes Yusoff Rawther: Elak buat kenyataan spekulatif, fitnah – AGC

20 hours ago 8

PETALING JAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat penyataan yang bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung keputusan pembebasan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther, semalam.

AGC dalam kenyataan hari ini berkata, sebarang kenyataan berhubung kes tersebut lebih-lebih lagi jika ianya dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah perlu dijauhi.

Menurutnya, pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaran melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi.

“Jabatan ini menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan mengambil maklum alasan keputusan yang diberikan untuk membebaskan tertuduh daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap beliau di akhir kes pendakwaan.

“Ini adalah kerana tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, menyedari bahawa kes ini telah menarik perhatian umum, Jabatan Peguam Negara telah bertindak menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang sepanjang prosiding berjalan.

“Pendakwaan telah dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti yang tersedia dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.

AGC juga berkata, pihaknya akan meneliti keputusan kes dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan selanjutnya.

“Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan,” katanya.

Semalam, Muhammed Yusoff Rawther dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie Muhammed Yusoff, 32, terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut diakhir kes pendakwaan.

Dalam kes berkenaan, tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar kanabis seberat 305 gram (g) dalam kenderaan dinaiki di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Dia turut didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar kanabis seberat 305 gram (g) dalam kenderaan dinaiki di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Dia turut didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |