Terdedah risiko, kerajaan diminta biaya perlindungan takaful PDRM

21 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk memberikan bantuan dan sokongan bagi membiayai perlindungan takaful kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia berikutan skop penugasan warga PDRM yang terdedah kepada pelbagai risiko memerlukan jaminan perlindungan takaful.

“Pasukan menyarankan agar setiap warganya mencarum minimum enam enam unit Takaful Kelompok yang bernilai RM11 seunit.

“Oleh itu, Koperasi PDRM Berhad memohon pihak kerajaan mempertimbang pemberian geran atau peruntukan khas bagi membiayai caruman dua unit takaful berjumlah RM264 setahun kepada seluruh warga PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi PDRM Berhad 2025, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, beliau turut memohon penganugerahan kontrak pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kepada KOP Construction Sdn. Bhd. Serta kontrak pembekalan ‘head to toe’ PDRM kepada KOP Tradtech Sdn. Bhd. Dan KOP Logistic Distribution Sdn. Bhd.

Menurutnya, ia bagi menjamin perolehan berkualiti keperluan logistik warga PDRM selain keuntungan daripada kedua-dua kontrak berkenaan akan dapat disalurkan kembali kepada Koperasi PDRM Berhad.

Selain itu, kerajaan juga diminta untuk mempertimbangkan rayuan pengurangan bayaran sewa dan hapus kira hutang premis kolej Unikop, Cyberjaya bagi tahun 2024.

“Kelulusan permohonan ini akan mengukuhkan lagi usaha menaik taraf kolej ini sebagai universiti kepolisan dan keselamatan yang unggul di rantau Asia Tenggara.

“Dengan adanya sokongan padu daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kerajaan, koperasi PDRM akan dapat melangkah lebih jauh dalam memperkasa kebajikan anggotanya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |