Piala Dunia Kelab: Pachuca intai trofi lebih berprestij

21 hours ago 6

KELAB tersohor dari Mexico, Pachuca bakal membawa cabaran benua Konfederasi Bola Sepak Amerika Tengah, Utara dan Caribbean (CONCACAF) dalam edisi Piala Dunia Kelab 2025.

Sebagai pemenang Liga Juara-Juara CONCACAF 2024, Pachuca enggan hanya melengkapkan jadual atau sekadar menimba pendedahan tetapi mereka turun dengan pengalaman dan cita-cita besar.

Impian itu bukan angan-angan kosong kerana kejayaan akan menambah koleksi trofi antarabangsa dan mengukuhkan status sebagai kelab paling berjaya di Mexico.

Fokus utama Pachuca kini lebih terarah kepada menyiapkan diri dalam keadaan terbaik sebelum bertemu lawan lebih berkualiti khususnya Real Madrid yang turut berada dalam Kumpulan H.

Berdepan pasukan dengan reputasi lebih baik khususnya kelab dari Eropah menjadi cabaran paling besar buat Pachuca, begitu juga dengan aspek jadual yang agak padat.

Pada dasarnya, peluang kali ini menjadi detik terbaik untuk skuad The Tuzos mengubah persepsi dunia terhadap kualiti yang ada pada wakil CONCACAF sekali gus cuba merekodkan sejarah baharu.

Beberapa pemain yang pernah bermain di pentas tertinggi di Eropah seperti Salomon Rondon dan Oussama Idrissi dijangka menjadi taruhan utama Pachuca untuk mencipta sensasi pada penyertaan kali ini.

Beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa seperti Piala Cabaran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Kejuaraan Derbi Amerika FIFA dan Liga Juara-Juara CONCACAF membuktikan Pachuca memiliki kualiti untuk menghadirkan kejutan.

Dari segi kekuatan pastinya lebih terarah kepada kematangan pemain kerana Pachuca sudah enam kali memenangi Liga Juara-Juara CONCACAF dan dijangka mendapat sokongan padu daripada seluruh warga Mexico.

Secara realistik, Pachuca tetap memiliki peluang cerah untuk melepasi peringkat kumpulan, namun agak samar untuk meramalkan kemaraan lebih jauh.

Pelantikan Jaime Lozano sebagai pengendali hujung bulan lalu mungkin memberikan sinar baharu dan mendatangkan resah kepada pencabar lain.

Ia berdasarkan resume cemerlang jurulatih itu yang pernah mengetuai Mexico meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

INFO

KUMPULAN H

PACHUCA

Negara: Mexico

Nama gelaran: Tuzos

Jurulatih: Jaime Lozano

Kapten: Gustavo Cabral

Pemain tumpuan: Salomon Rondon

Read Entire Article
Pertanian | | | |