PETALING JAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan jelas bahawa beliau kekal dengan keputusan untuk meletakkan jawatan apabila mengesahkan telah mengemas pejabat dan menyelesaikan urusan terakhirnya di Kementerian Ekonomi.
Dalam satu hantaran di Facebook, Menteri Ekonomi itu memaklumkan kunjungan terakhir beliau ke pejabat kementerian berkenaan dilakukan semalam dan hari ini untuk menyelesaikan urusan akhir serta mengemas ruang kerja.
“Saya masuk ke pejabat buat kali terakhir semalam dan hari ini untuk urusan-urusan terakhir, termasuk mengemas pejabat.
“Saya ingin ambil kesempatan ini untuk memperkenalkan beberapa orang yang banyak membantu saya mengusahakan inisiatif ekonomi di bawah Kementerian Ekonomi,” katanya.
Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada barisan pegawai dasar di bawah Kementerian Ekonomi yang disifatkan sebagai tulang belakang dalam membantu beliau merangka serta melaksanakan pelbagai inisiatif ekonomi strategik sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya,” katanya.
Jelasnya, antara inisiatif yang dirangka oleh pasukan tersebut termasuklah membangunkan ekosistem industri semikonduktor, program syarikat pemula (startup), Zon Ekonomi Khas JSSEZ, Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR), dasar gaji progresif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, JSSEZ, NETR, kepada gaji progresif sehinggalah RMK13, mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan,” katanya.
Rafizi turut memperkenalkan beberapa individu penting dalam pasukannya termasuk Dr. Azraai Bahari Nasruddin, Benjamin Quek, James Chai, Ismat Qayyum dan Haqimi Zamri yang menurutnya kini akan kembali ke bidang masing-masing selepas berkhidmat di kementeriannya.
“Saya banyak belajar dari mereka, mungkin lebih dari mereka belajar dari saya,” ujarnya.
Terdahulu, Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad menghantar surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka pada pemilihan PKR yang berlangsung bulan lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan itu untuk memikirkan secara teliti sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Jemaah Menteri.
Anwar berkata, jika boleh beliau mahu Rafizi menyertai semula Kabinetnya. – KOSMO! ONLINE