KUALA LUMPUR – Biarpun kini namanya antara vokalis lelaki terhebat negara, namun siapa sangka Anuar Zain pernah disindir cuba menumpang populariti kakaknya, Ziana Zain.
Menurut Anuar atau nama lengkapnya Shahrul Anuar Zain, 55, sindiran pedas itu dihamburkan seorang individu sewaktu dia menemani Ziana mengadakan persembahan beberapa tahun lalu.
“Kejadian itu berlaku sewaktu saya menemani Ziana membuat persembahan. Ketika itu saya tidak pernah terfikir untuk kembali aktif sebagai penyanyi kerana saya bertugas sebagai pramugara. Lagipun ketika itu penyanyi lelaki tak ramai yang menyerlah selain M Nasir, Jamal Abdillah, Amy Search dan Zamani Slam.
“Sewaktu saya sedang menemani Ziana, tiba-tiba ada individu menyindir saya cakap ‘kesian Anuar tu nak menyanyi balik tetapi terpaksa menempel dekat kakak dia’. Sampai macam tu sekali saya kena.
“Tetapi saya cuma senyum sahaja. Dalam hidup ini kita tidak boleh ambil pusing cakap-cakap orang. Senyum sahaja tak perlu simpan dalam hati kerana rezeki orang kita tak tahu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025, di sini, semalam.
Tambah pelantun lagu Bila Resah itu lagi, memang menjadi pendiriannya tidak mengambil peduli kata-kata negatif sejak dari dulu lagi.
“Saya praktikkan perkara itu sampai sekarang. Dalam zaman media sosial itu lebih mudah untuk netizen berkata-kata. Tetapi saya ambil pendekatan untuk tidak baca komen negatif. Kadang-kadang mereka sekadar mahukan perhatian kita.
“Saya hanya baca mesej yang diberikan dalam akaun media sosial saya kerana kebanyakan adalah mesej-mesej yang positif daripada peminat. Ucapan hari lahir atau sekadar nak tanya khabar. Kalau ada permintaan yang tidak sepatutnya, saya tak akan balas,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Anuar kini sedang sibuk dengan persiapan Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang bakal berlangsung pada 18 Oktober depan di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 anjuran Anuar Zain Network menggabungkan empat bintang hebat termasuklah Anuar, Ziana Zain, Ernie Zakri dan Syamel. – KOSMO! ONLINE