‘Belajar jadi jenazah, kalian akan takut kehidupan dunia’

17 hours ago 7

PETALING JAYA – Pelakon Elfira Loy menyeru orang ramai terutama yang beragama Islam agar mempelajari cara memandikan jenazah demi mengejar kehidupan hakiki di akhirat nanti.

Malah, Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, memaklumkan pengalaman menguruskan jenazah dapat memberi impak dalam kehidupan selain merupakan fardhu kifayah yang memberi pahala besar.

“Saya nak orang lain semua belajar cara mandikan jenazah. Saya pernah cuba sekali, belajar dan pernah jadi jenazah.

“Subhanallah saya rasa siapa yang pernah mandikan jenazah akan takut dengan kehidupan di dunia.

“Cubalah, baru saya tahu kenapa orang yang mandikan jenazah pahala dia sebesar gunung Uhud sebab sangat susah dan rasa ketat di dada,” katanya dalam sebuah audio siar.

Meskipun memahami ramai yang tidak berani memandikan jenazah, pelakon filem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu tetap berharap umat Islam mengambil kursus pengurusan jenazah supaya dapat berkhidmat kepada ibu bapa.

“Saya nak semua orang pergi ambil kelas, belajar dan kalau ada peluang, berebutlah untuk mandikan jenazah.

“Boleh jadi satu perubahan dalam hidup awak. Saya tak rasa semua orang berani buat benda itu tetapi kena juga.

“Ada mak dan ayah, siapa nak mandikan kalau bukan kita,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Elfira mengakui mempelajari pengurusan jenazah dapat menjentik hati setiap manusia untuk berubah menjadi insan lebih baik.

“Awak akan tahu nak meninggal cara macam mana (keadaan).

“Bila meninggal dah tak boleh buat apa-apa kan, orang yang bersihkan awak. Macam mana orang bersihkan awak, mencerminkan bagaimana awak hidup di dunia.

“Bersih macam mana, amalan bagaimana. Semua itu akan terpancar semasa awak meninggal.

“Tapi awak dah tak boleh buat apa kan, cuma boleh tengok dan rasa orang uruskan awak,” jelasnya.

Sejak mendirikan rumah tangga, Elfira dilihat kurang aktif dalam industri seni kerana memberi fokus penuh buat keluarganya.

Malah, dia juga mengubah penampilan menutup aurat apabila sering menggayakan tudung labuh dan berpakaian longgar.

Elfira juga kerap dilihat menyertai kelas agama bagi memberi fokus terhadap akhirat serta enggan berharap pada manusia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |