GERIK – Penilaian Keadaan Turapan (PCA) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini adalah mengikut kaedah terkini, moden serta terpakai di diperingkat antarabangsa.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja penilaian itu telah selesai dilaksanakan iaitu bermula 13 Mac hingga 13 Mei lalu.
“Kini dalam proses penyediaan laporan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR). Laporan ini akan menjadi asas penting dalam merancang kerja-kerja penyelenggaraan turapan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi kemalangan meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, JRTB berhampiran Tasik Banding di sini.
Alexander berkata, kerja-kerja penilaian itu melibatkan penggunaan teknologi seperti Multi Laser Profiler (MLP), Falling Weight Deflectometer (FWD), Dynamic Cone Penetrometer (DCP) dan Trial Pit.
“Penilaian ini dilaksanakan mengikut kaedah terkini, moden dan terpakai di peringkat antarabangsa.
“Kerja-kerja penilaian ini telah selesai dan kini dalam proses penyediaan laporan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR). Laporan ini akan menjadi asas penting dalam merancang kerja-kerja penyelenggaraan turapan,” katanya.
Katanya, kerja-kerja naik taraf laluan di JRTB Gerik-Jeli akan dilaksanakan mengikut keperluan berdasarkan kepada syor yang dikemukakan dalam laporan Penilaian Keadaan Turapan (PCA).
Mengulas lanjut beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak tahun 2023 bagi menambah baik laluan Gerik–Jeli khususnya sepanjang Jalan Persekutuan FT04.
“Jalan ini dibina lama dahulu dan mengikut bentuk muka bumi dengan banyak selekoh dan cerun. Cadangan naik taraf telah lama wujud, namun ia bergantung kepada peruntukan kerajaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Tambahnya, sebanyak 385 lampu solar bernilai RM3.5 juta juga akan dipasang mulai Julai ini termasuk di lokasi kemalangan.- KOSMO! ONLINE