Ibu mengaku bersalah aniaya, biar anak ‘diratah’ kekasih

1 day ago 7

KOTA BHARU – Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan dengan membiarkan remaja berusia 16 tahun itu dirogol kekasihnya di sebuah rumah dekat sini kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 44 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menganiaya anaknya yang berusia 16 tahun tujuh bulan ketika kejadian daripada aspek seks apabila membiarkan remaja itu dirogol semasa berada di dalam pengawasannya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 10 pagi pada 31 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM 50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang penganggur yang merupakan kekasih kepada wanita itu didakwa atas pertuduhan merogol seorang remaja pada 31 Mei lalu.

Tertuduh, Mohd. Hanif Omar, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Ahmad Bazli.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja berusia 16 tahun tujuh bulan semasa kejadian pada masa dan lokasi sama dengan pertuduhan yang dihadapi kekasihnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala pasangan kekasih itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana mereka terlibat dalam jenayah rogol mangsa bawah umur.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin selain menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes dan prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |