F1: Hamilton seperti kibar bendera putih

22 hours ago 7

MARANELLO – Ferrari dilaporkan bakal menamatkan pembangunan jentera SF-25 hujung bulan ini dan mengalihkan sepenuh perhatian kepada kereta baharu musim 2026 iaitu langkah yang dibuat selepas tekanan berterusan daripada Lewis Hamilton.

Selepas 10 pusingan musim 2025, Ferrari jauh ketinggalan 197 mata di belakang McLaren dalam saingan gelaran pengeluar sekali gus memadam impian awal untuk menamatkan kemarau kejuaraan sebaik Hamilton tiba dari Mercedes.

“Kami sedang bina asas tahun ini, belajar tentang struktur, proses dan alat. Bila tiba musim depan, kami mahu tampil dengan kereta yang benar-benar kami inginkan,” kata Hamilton ketika ditanya sama ada Ferrari sudah beralih sepenuhnya ke projek 2026.

Setakat ini, semua podium Ferrari musim ini hanya disumbangkan oleh Charles Leclerc di Arab Saudi, Monaco dan Sepanyol, selain masalah konsisten pada jentera, termasuk isu ketinggian casis turut menjejaskan potensi pasukan.

Hamilton sendiri menjadi mangsa isu tersebut apabila disingkirkan daripada perlumbaan utama Grand Prix (GP) China selepas memenangi aksi sprint, susulan jentera SF-25 perlu dinaikkan lebih tinggi daripada rekaan asal untuk mengelakkan kerosakan lantai.

Ferrari sedang membangunkan suspensi belakang baharu bagi membolehkan mereka kembali menurunkan jentera pada paras optimum yang dijangka diperkenalkan pada GP British bulan depan selepas lulus ujian penting di Maranello.

Bagaimanapun, ia dijangka menjadi kemas kini terakhir bagi SF-25 apabila sumber dalaman pasukan mengesahkan fokus pembangunan beralih ke projek 678 iaitu jentera akan digunakan di bawah peraturan baharu F1 2026.

“Musim ini memang lebih sukar untuk dimenangi tapi belum tertutup. Cuma kejuaraan musim depan masih terbuka luas,” jelas Hamilton seakan memberi bayangan semua pertaruhan kini tertumpu kepada potensi jentera tahun hadapan. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |