Pelajar dapat berlari percuma di Stadium Nasional Bukit Jalil

23 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Siapa sangka murid sekolah rendah kini boleh berlari di atas trek balapan bertaraf dunia tanpa perlu bayar sesen pun.

Itu realiti baharu dicipta hasil langkah berani Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, Hannah Yeoh yang membenarkan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil secara percuma kepada semua sekolah.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seksyen 11 Kota Damansara, Mohamad Khairul Mohtar berkata, peluang seperti ini bagaikan hadiah paling berharga untuk anak-anak murid yang selama ini hanya mampu melihat stadium itu daripada kaca televisyen.

“Terima kasih KBS, terutama YB Hannah Yeoh atas peluang yang kami tak pernah bayangkan. Ramai murid dan ibu bapa pun tak pernah jejak kaki ke Stadium Nasional. Tapi sekarang mereka sendiri boleh berlari atas trek sama macam jaguh negara,” katanya kepada Kosmo!.

Kata Khairul, peluang pelajar sekolah rendah dan prasekolah ‘beraksi’ di atas trek kelas A itu bersempena hari sukan sekolah bukan sekadar untuk suka-suka, malah boleh menjadi pemangkin semangat kepada murid yang mungkin suatu hari nanti akan menjadi atlet kebangsaan.

MOHAMAD Khairul Mohtar (belakang, kiri) menyampaikan hadiah kemenangan kepada pelajar pra sekolah yang mencuri tumpuan di temasya sukan tahunan sekolah.

“Kalau zaman saya dulu, memang tak pernah terfikir dapat menyertai sukan sekolah dalam stadium seperti ini. Tapi sekarang, kami mulakan impian besar anak-anak di tempat yang menjadi simbol sukan negara.

“Kami percaya bila murid rasa sendiri pengalaman seperti ini, mereka akan lebih yakin dan bermotivasi untuk libatkan diri dalam sukan. Ini bukan sekadar sukan tahunan sekolah ini permulaan untuk melahirkan jaguh masa depan,” katanya.

Sebelum ini, penggunaan stadium berkenaan bagi satu kejohanan sehari dianggarkan mencecah RM5,000 untuk sekolah kerajaan dan RM8,000 untuk sekolah swasta, satu angka yang sudah tentu di luar capaian kemampuan kebanyakan sekolah.

Namun, sejak Oktober 2023, dasar baharu KBS membenarkan semua sekolah membuat tempahan percuma, tertakluk kepada jadual stadium.

Langkah itu disambut baik oleh pelbagai pihak kerana ia benar-benar merakyatkan sukan, selain membuktikan bahawa fasiliti bertaraf antarabangsa juga milik semua, bukan eksklusif untuk acara elit semata-mata.

Inisiatif sebegini wajar diteruskan dan diperluas agar lebih ramai pelajar dari pelbagai latar belakang mampu menikmati kemudahan sukan bertaraf dunia sebagai sebahagian daripada perjalanan pendidikan mereka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |