Berjalan di ‘mall’ tempat terbaik buang kalori

1 day ago 7

PETALING JAYA – Mengunjungi pusat membeli-belah bukan sekadar tempat meluangkan masa bersama keluarga atau berjalan menghabiskan wang, ia juga lokasi bersukan terbaik untuk membakar kalori secara sihat.

Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, lebih 10,000 langkah boleh dicapai apabila mengunjungi ke pusat membeli-belah sekali gus dapat mencapai objektif amalan gaya hidup sihat.

“Manfaat yang anda tak sangka dengan berjalan di ‘shopping mall’. Ramai fikir ‘shopping mall’ tempat ‘buang duit’. Tapi sebenarnya…ia juga tempat ‘buang kalori’.

“Berjalan santai dalam ‘mall’ besar seperti IOI City Mall, 1 Utama atau Pavilion boleh capai hingga 10,000 langkah tanpa anda sedar pun, Jadi kalau anda rasa susah nak cari masa bersenam, mula saja dengan pusing ‘mall’ satu pusingan,” saran PHM.

Menurut PHM, aktiviti melengkapkan 10,000 langkah sehari dapat menjadikan badan lebih ringan.

Menjengah ke ruangan komen, ramai golongan wanita berseloroh mahu kerap mengajak pasangan masing-masing ke pusat membeli-belah untuk mencapai misi kurus mereka.

“Encik Suami, setiap hari kalau saya ajak awak pergi ‘mall’ jangan marah, semua ni untuk misi kurus saya sebelum akhir tahun 2025,” kata Saidah.

“Aku cuba dah tadi, Sunway Carnival je. Baru 2,000 langkah laki dah ajak balik. Lagi banyak aku jalan lagi kurang baki akaun dia. Tak ‘support’ langsung bini tak bersenam,” komen Sya Aishiteru.

Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan, satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal JAMA Internal Medicine dan JAMA Neurology mendapati berjalan kaki sebanyak 10,000 langkah sehari mampu mengurangkan risiko demensia, kanser, serangan jantung di samping dapat melanjutkan usia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |