MA mahu lebih lima emas Sukan SEA 2025

1 day ago 6

KUALA LUMPUR – Sasaran lebih lima pingat emas diletakkan Olahraga Malaysia (MA) menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember depan.

Meskipun tidak diumumkan secara spesifik jumlah pingat yang disasarkan, namun Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi bayangan tersebut apabila mengakui mahukan pencapaian lebih baik berbanding Kemboja 2023.

Beliau berkata, pihaknya mahukan pencapaian lebih baik berbanding sebelum ini, sekali gus membuatkan usahanya untuk mempertahankan jawatan yang disandang menjelang pemilihan Ahad nanti berbaloi.

“Boleh disebut bahawa kita mahu capai (sasaran) lebih baik. Sekiranya kita tidak boleh lebih baik (berbanding Kemboja 2023), buat apa saya merebut jawatan ini kerana saya mahu supaya matlamat itu lebih baik.

“Jika tidak capai matlamat itu, buat apa saya duduk di sini? Sasaran sudah ada tetapi saya rasa biarlah Menteri (Hannah Yeoh) yang putuskan kerana beliau akan bercakap untuk kesemua sukan,” katanya kepada pemberita pada sidang media presiden di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Pada edisi 2023 yang lalu, skuad olahraga negara membawa pulang lima pingat emas menerusi atlet 400 meter (m), Umar Osman, Andre Anura (lompat kijang), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Shereen Samson Vallabouy (400m) dan Grace Wong (baling tukul besi).

Sementara itu, beliau turut mengumumkan seramai 10 atlet yang berada dalam kedudukan tiga terbaik Asia Tenggara disenaraikan dalam Kategori A, sekali gus layak secara merit dan ditanggung sepenuhnya Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kategori A dikira mereka ini berada dalam kelompok tiga terbaik dalam Sukan SEA. Kita jangka untuk menghantar 10 atlet dalam kategori ini. Bagi Kategori B pula, kita akan menghantar 20 atlet dan perbelanjaan ditanggung MA.

“Bagaimanapun, atlet dalam Kategori B masih berpeluang memperbaiki catatan masing-masing untuk disenaraikan ke Kategori A sebelum pemilihan akhir dibuat,” ujar Shahidan.

Antara atlet lelaki tersenarai dalam Kategori A ialah Muhammad Azeem Fahmi (100m), Umar (400m), Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (800m), Andre (lompat kijang), Irfan (lempar cakera) dan Jonah Chang (lontar peluru).

Sementara itu, atlet wanita pula terdiri daripada Shereen (400m), Queenie Ting (lempar cakera), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru) dan Grace (baling tukul besi). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |